Selasa, 2 Disember 2014

Sibuknya mama dan ayah dihujung minggu


Assalamuaikum, 
 
Sudah lebih 2 bulan rutin hidup saya semakin sibuk berbanding sebelumnya. Jika dulu hanya sibuk pada  hari bekerja keluar rumah jam 8  pagi dan balik pula paling cepat pun jam 6.30 baru sampai ke rumah.  Tetapi kini hujung minggu pun sangat sibuk. Rutin hujung minggu saya dan suami telah berubah penuh dengan aktiviti anak-anak

Sibuk dengan urusan dan aktiviti anak-anak. Mikail dan Amilea ada latihan  badminton di SK Sri Petaling setiap sabtu jam 8 pagi hingga 12 tengahari manakala ahad pagi pula mereka ada kelas violin.Bila anak banyak aktiviti mama dan ayahnya  pun sibuk juga dengan  aktiviti menghantar dan menjemput serta menunggu mereka. 2 minggu sekali pula bawa mereka berenang di pusat akuatik Shah Alam. Memang penat ditambah pula urusan rumahtangga juga perlu diurus. Cuci rumah, urusan mendobi dan sebagainya yang tak pernah selesai tetapi walau sibuk dan penat macam mana pun saya dan suami  tetap memperuntukan masa untuk membawa anak-anak berjalan-jalan atau membuat aktiviti luar  samada pada hari sabtu atau ahad untuk aktiviti keluarga.

Saya dan suami bersyukur melihat perubahan anak-anak. Bila hujung minggu dipenuhi dengan aktiviti, mereka lebih menghargai masa dan kurang menonton tv. Di waktu lapang masa akan dipenuhi dengan berlatih  badminton dan bermain violin. Tak perlu lagi saya bising atau membebel kerana mereka gemar menonton TV. Mereka telah ada hobi yang bermanfaat dan tidak membuang masa pada perkara-perkara yang melalaikan. Rutin harian seperti solat 5 waktu, membaca quran selepas solat maghrib, baca buku sebelum tidur  pun mereka buat tanpa perlu leteran yang panjang seperti sebelum ini. Tetapi sekali sekali bising juga mulut saya maklumlah  anak umur10 tahun dan 8 tahun memang banyak yang perlu diingatkan dan di ajar. 

Tujuan saya daftarkan mereka ke kelas violin bukanlah mahu mereka jadi pemuzik. Tetapi untuk membentuk displin dan agar mereka lebih fokus begitu juga dengan badminton. Alhamdulillah mereka pun gembira dan teruja untuk mahir dalam bidang tersebut. Guru yang mengajar dan melatih mereka pun memuji sikap mereka yang bersemangat dan rajin. 

Harapan dan doa saya mereka akan menjadi insan yang berjaya dan bertaqwa serta soleh dan solehah. Amiin. Begitu juga adik mereka Michelle Farhana yang akan mengikut jejak langkah abang dan kakak tahun depan. Insya Allah.














Selasa, 18 November 2014

Bengkel Faraid


Pada 22 Oktober 2014 yang lepas saya telah dijemput sebagai penceramah untuk bengkel Faraid. Sesi selama 3 jam tersebut dihadiri seramai 50 orang terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi dan yang berumur diantara  38 tahun ke 65 tahun. Majlis dimulai dengan bacaan alquran  Surah An- Nisa" oleh Qari muda berusai 15 tahun. Merdu surau beliau dan tepat tajwidnya. Alhamdulillah bengkel ini mencapai objektif saya untuk memberi penerangan dan kefaham berkenaan Faraid dan rahsianya. Serta merungkai salah faham berkenaan Faraid. 

Satu soalan yang diajukan oleh salah seorang peserta di hujung sesi. Kenapa hukum Faraid hanya memberi bahagian kepada leaki dan perempuan. Ayat Surah An- Nisa jelas menyebut golongan ini sahaja. Bagaimana  bahagian dan hak  golongan khunsa. Adakah Allah tidak mengiktiraf golongan ini. Adakah Allah menafikan hak golongan ini. Jawapan saya. Seseorang yang dilahirkan sebagai Khunsa ini sebenarnya ada kecenderungan yang lebih ke arah salah satu jantina. Walau pun alat sulit mereka tidak sempurna seperti golongan lain tetapi tetap akan ada mirip atau seakan-akan bentuk alat sullit samada lelaki atau perempuan. Maka mereka akan diklasifikasikan sebagai lelaki jika alat sulit lebih mirip kepada alat sulit lelaki. Begitu juga akan diklasifikasikan sebagai perempuan jika alat sulit mereka lebih mrip kepada alat sulit perempuan. Pakar perubatan boleh mengesahkan perkara ini. Hak Faraid  mereka  ini bergantung kepada perkara di atas. Jika lelaki maka mereka akan mendapat bahagian lelaki dan jika perempuan mereka akan mendapat bahagian perempuan. 


Saya tekankan juga bahawa Allah melaknat golongan yang dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan  tulen tanpa sebarang kecacatan alat sulit mereka tetapi lebih minat untuk menjadi golongan sebaliknya. Jika lelaki lebih minat menjadi perempuan manakala perempuan pula lebih minat untuk menjadi lelaki. Cenderung dan suka kepada golongan sejenis. Mereka ini adalah orang yang berpenyakit jiwa dan tidak bersyukur dengan kejadian Allah. Susah untuk mereka berubah ke pangkal jalan selagimana mereka hidup didalam kelompok yang sama. Kecelaruan naluri  ini sebenarnya mereka bentuk tanpa sedari melalui pergaulan dengan golongan yang sama. Pada saya masalah ini telah menjadi masalah sosial yang merunsingkan. Golongan ini perlu dibantu dan dididik untuk kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Masyarakat jangan menghina mereka sebaliknya menunjukkan keprihatian serta kasih sayang kepada mereka agar mereka  membuka mata untuk kembali ke kejadian asal. Insya Allah.












Jumaat, 14 November 2014

Harta dan Hutang perlu seimbang

Kisah seorang isteri yang kematian suami memberi pengajaran kepada saya agar berpada-pada dalam membeli aset atau kereta. Arwah  semasa hayat adalah seorang yang berjawatan tinggi di sebuah syariakat GLC. Gaji bulanan adalah lebih kurang RM30,000 tidak termasuk lain-lain elaun. 

Gaya hidup mereka sekeluarga agak mewah. Mendiami banglo  besar di Shah Alam, kereta mewah 5 buah, percutian diluar negara setiap tahun dan apabila sakit ke hospital swasta yang juga mewah. 
Serba serbi adalah mewah dan cukup segalanya. 

Ajal maut ditentukan Allah. Arwah suami telah mati mengejut kerana sakit jantung. Semasa isteri memberitahu saya suami beliau telah meninggal dunia beliau berikan saya  satu senarai harta dan hutang arwah.  Bila saya melihat senarai  harta yang tinggalkan, Subhanallah  lebih RM8 juta.  Tetapi apabila saya lihat senarai hutangnya, massya allah , saya sedih kerana lebih banyak daripada harta yang dimiliki. 

Semua kereta mewah masih didalam hutang, hutang kredit kad melebih RM50,000, rumah bernilai RM6 juta  tiada  perlindungan MRTA, tidak termasuk lain-lain hutang peribadi.  

Isteri bekerja sebagai kakitangan awam telah runsing memikirkan hutang dan bagaimana  hendak menukar gaya hidup mereka anak beranak sementelah anak-anak  telah biasa hidup mewah. Bagaimana hendak  menjelaskam  ansuran bulanan  rumah yang tinggi. Mereka bakal kehilangan rumah dan tiada tempat berteduh sekiranya harta arwah tidak dapat menampung hutang tersebut. Mencari rumah yang sesuai dan mampu milik sesuai dengan gaji kaki tangan awam agak sukar pada masa kini. Walau sukar macam mana pun si isteri tetap kena harungi dugaan ini. Semoga beliau dan anak-anak tabah dan di permudahkan. 

Untuk pastikan orang-orang yang kita sayangi berada dalam keadaan selesa, tenang dan kekal gaya hidup selepas kita meninggal maka apabila kita merancang untuk memiliki harta maka kita juga perlu merancang cara pembayaran hutang samada  semasa hidup dan mati agar tidak membebankan ahi waris yang ditinggalkan. 

Langkah seterusnya tanpa berlengah buatlah Wasiat dimana di dalam Wasiat tersebut perlu melantik seorang wasi atau pentadbir yang akan menguruskan harta dan hutang apabila kita meninggal dunia dan membuat pengagihan harta jika ada baki setelah penyelesaian hutang. 
  









Isnin, 10 November 2014

Sihat Sunnah



Bebenan kerja yang bertambah tahun ini menyebabkan saya mudah letih dan mengalami tekanan serta mudah stress. Keadaan ini sangat merunsingkan kerana kegagalan menangani tekanan dan stress boleh menjadi punca beberapa penyakit kronik seperti kanser. 

Saya faham bahawa selagi mana saya makan gaji dan bekerja dengan orang maka saya tidak akan dapat lari daripada bebenan kerja, tekanan dan stress untuk menjaga prestasi diri dan syarikat. Saya ada 2 pilihan iaitu keluar daripada zon makan gaji  atau masuk ke zon bekerja sendiri/berniaga. Pilihan saya pada masa kini  adalah terus kekal di zon makan gaji untuk  satu tempoh tertentu. Saya akur bahawa jika ini  pilihan saya maka saya perlu bertindak untuk mengawal tekanan dan stress agar tidak membahayakan kesihatan diri dan emosi saya. 

5  bulan yang lepas, seorang kawan yang telah disahkan menghidap kanser telah  memperkenalkan saya satu produk makanan sunnah iaitu Sihat Sunnah. Menurut beliau ia membantu  memulihkan penyakit beliau dan sangat sesuai. Beliau pun telah semakin pulih. 

Melihat kebekesanan produk ini ke atas kawan saya  maka telah mencuba,  tujuannya adalah untuk menyembuhkan penyakit PhotoAllergy (alergi kepada cahaya matahari)  yang saya hidapi  semenjak 3 tahun yang lalu serta untuk mengawal  keletihan  dan stress yang sering saya alami. 

Setelah mencuba selama 2 bulan   dan telah nampak keberkesanannya. 
Saya tidak mudah letih dan kurang rasa stress. Manakala masalah photo allergy saya semakin terkawal. Saya rasa lebih bertenaga dan sihat. Alhamdulillah. 




Jus Buahan Sunnah


Sumber gambar: Laman web Sihat Sunnah
JUS BUAHAN  SUNNAH SIHAT SUNNAH
Jus  1001 Khasiat 10 Tumbuhan Sunnah Terbaik Dunia 
Jus lazat dengan 1001 khasiat dari Air Zam Zam, Habatus Sauda, Madu, Kurma, Zaitun, Saffron, Delima, Kismis, Goji dan Biji Anggur
Boleh diminum oleh seisi ahli keluarga termasuk kanak-kanak.
  • Gabungan formula Sains dan Sunnah yang mampu membantu mengatasi pelbagai penyakit kronik seperti kanser, kencing manis,  paru-paru, penyakit jantung, sakit sendi, sakit lutut, gout dan lain-lain.
  • Mengandungi agen antipengoksida bioaktif paling berkesan bertindak menguatkan sistem imun tubuh badan.
  • Dirumus secara sunnah dan mengikut panduan dari Penasihat Saintifik Pemakanan bertauliah.
  • Menggunakan 10 tumbuhan sunnah gred pertama yang berkualiti tinggi, diimport khas dari Timur Tengah.
  • Peratus kandungan setiap bahan ditentukan mengikut panduan saintifik dan tidak dibancuh sembarangan bagi memastikan tubuh badan menyerap keseluruhan khasiat dan mendapat kesan yang paling maksima.
  • Mengandungi penawar bagi segala penyakit seperti yang tertera dalam hadis bagi Air Zam Zam, Madu, Habatus Sauda serta kesemua buahan sunnah yang digunakan.
  • Membantu mencergaskan minda dan daya ingatan
  • Membekalkan tenaga luaran dan dalaman
  • Membuang toksin
  • Mengurangkan kolesterol dan berat badan
Harga sekotak  (20 sachet) - RM90.00 

BERMINAT  untuk mencuba sila Whatssap 019-3305432 
                                                                             019-3305434

Rabu, 25 Jun 2014

Sahabat semoga kau tabah menempuh dugaan


Sahabat saya yang sama-sama mengharungi susah senang selama 10 tahun sedang diuji ujian yang sangat besar.
 
Sesungguh apa yang menimpa beliau amat memberi kesan emosi kepada saya. Selama ini semua perkara beliaulah yang menjadi rujukan dan guru saya. Semua kerja dan masalah kami akan selesaikan bersama diiringi  gelak tawa, perasaan  marah dan kecewa  namun semua mampu diselesaikan mengikut kemampuan kami.
 
Doa saya beliau diberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui tempoh pemulihan.
Alhamdulillah beliau dikurniakan seorang suami yang baik, sangat penyayang dan Insya Allah akan sentiasa bersama beliau melalui ujian dan dugaan ini.
 
Sesungguhnya sahabat ini adalah insan terpilih. Semoga Allah memudahkan semua kesusahan dan urusan beliau. 
 
 
 

Kerana Harta Sanggup Aibkan Orang

Assalamuaikum


Perceraian adalah perkara yang di haruskan di dalam Islam tetapi antara perkara yang dibenci Allah.
Kebanyakan Perceraian yang berlaku akan berakhir dengan keburukan dimana ia boleh menyebabkan semua kebaikan setiap pihak yang terlibat dilupakan sebaliknya perkara yang buruk akan ditimbulkan.

 Hari ini hati saya tersentap apabila membaca berita  mengenai tuntutan Harta Sepencarian pasangan profil tinggi. Tuntutan dibuat oleh bekas isteri bernilai sangat tinggi melibatkan jutaan ringgit. Sudah tentu tuntutan dibuat berdasarkan kemampuan bekas suami tersebut.

Sangat menyedihkan kerana enggan melayani tuntutan bekas isteri serta untuk menyelamatkan harta beliau jatuh ketangan bekas isteri maka  bekas suami tersebut rela memberi kenyataan yang sangat mengaibkan bekas isteri dan menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang wanita dan ibu.
Manusia yang berajakan harta sanggup buat apa saja untuk harta. Tiada langsung rasa ihsan terhadap orang yang pernah disayangi suatu ketika dahulu

Ketahuilah bahawai hak ke atas Harta Sepencarian sama sekali tidak akan gugur dengan dakwaan tersebut sekalipun benar. Walaupun wanita tersebut disabitkan nusyuz atau derhaka terhadap suami hak beliau tetap terpelihara cuma berapa banyak hak beliau akan mahkamah putuskan berdasarkan sumbangan langsung atau tidak beliau ke atas perolehan harta.

Hai ceteknya ilmu, agama serta akhlak lelaki ini....




 

Fahami Hak Anda untuk Menjamin Kesenangan


Setiap orang dewasa yang beragama Islam wajib memahami hukum Faraid, hukum wasiat, peruntukan undang-undang mengenai Harta Sepencarian, peraturan Hibah, peraturan  Amanah, konsep penamaan bagi wang KWSP dan Takaful atau insurans  serta lain-lain akaun simpanan.
 
Mereka perlu faham dan tahu mengenai Faraid agar mereka tahu hak perwarisan bagi diri sendiri dan setiap  ahli keluarga. Manakala kefahaman mengenai perkara-perkara lain yang disebut di atas akan membantu mereka  merancang harta yang akan ditinggalkan kepada ahli keluarga apabila meninggal dunia melalui insrumen yang betul dan boleh dikuat kuasa.
 
Memahami semua insrumen di atas dan peruntukan hukum dan undang-undang berkenaannya akan membantu memaksimumkan pemberian kepada orang yang tersayang serta menpercepatkan urusan pentadbiran dan pengagihan harta pusaka serta mengelakkan kelewatan tuntutan yang akan menyusahkan ahli keluarga .
 
 
Jika anda berminat menghadiri ceramah/taklimat kesedaran mengenai perkara ini sila hubungi saya
whatsapp:0193305432
 
Saya juga bersedia menerima undangan sebagai penceramah dalam bidang ini

Ahad, 22 Jun 2014

Think Big Act Small


Sumber : Jason Jennings

  • Don't get locked into long-term plans based on fairy tale numbers
  • Don't become preoccupied with tomorrow. Take care of customers today
  • Don't let greed cloud your vision
  • Don't obsess on the big something you're trying to achieve. Take it in bite-sized pieces
  • Set targets that people can see and believe
  • Keep doing what's worked in the past
  • Don't chase big numbers for the sake of the big numbers
  • Don't let long -term plans become anchors

Harta Sepencarian: Memelihara Hak Suami dan Isteri



Apakah yang dimaksudkan Harta Sepencarian?
Harta Sepencarian merupakan harta alih dan harta tak alih yang diperolehi  oleh suami dan isteri melalui sumbang secara langsung atau tidak langsung semasa tempoh perkahwinan yang sah menurut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan sumbangan lansung dan sumbangan tidak langsung?
Sumbangan langsung bermaksud pihak-pihak tersebut memberi sumbangan kewangan terhadap perolehan aset tersebut.
Manakala sumbangan tidak langsung bermaksud bahawa tiada sumbangan kewangan terhadap perolehan aset tersebut tetapi sekadar  memberikan sumbangan moral atau  tanggungjawab menguruskan anak-anak dan suami. Sumbangan tidak langsung terpakai bagi Isteri yang tidak bekerja tiada sumbangan kewangan tetapi menjaga anak-anak semasa suami keluar bekerja menyebabkan suami lega dan senang hati sewaktu bekerja.

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan harta sepencarian?
Hak ke atas Harta Sepencarian telah ada   sebaik sahaja memasuki alam perkahwinan dan
 harta diperolehi dalam tempoh perkahwinan. 
Tetapi hak tersebut perlu dituntut oleh suami atau isteri melalui proses mahkamah di dalam 3 situasi tersebut:

a) berlaku perceraian atau pembubaran perkahwinan
b) suami ingin berpoligami(mahkamah akan memutuskan hak harta sepencarian isteri pertama atau yang sedia ada)
c) kematian suami atau isteri

Apakah kelebihan menuntut harta sepencarian apabila berlaku kematian suami atau isteri
Jika suami meninggal dunia maka hak faraid isteri ke atas harta beliau adalah 1/4 bahagian (jika suami tiada anak) dan 1/8 bahagian (jika suami ada anak).
Jika isteri meninggal dunia maka hak faraid suami ke atas harta beliau  adalah 1/2 bahagian (jika isteri tiada anak) dan 1/4 bahagian (jika sami ada anak)

Dengan membuat tuntutan harta sepencarian maka suami atau isteri yang hidup akan memperolehi bahagian yang lebih baik. Dimana mereka akan dapat bahagian faraid serta bahagian  harta sepencarian. Tuntutan harta  sepencarian akan memaksimumkan bahagian suami dan isteri.

Harta Sepencarian sebagai insrumen perancangan Harta Pusaka
Tuntutan harta sepencarian adalah melalui proses mahkamah  dimana memerlukan masa yang panjang  dan kos yang tinggi  .Sekiranya anda ingin mengurangkan masalah tuntutan tersebut maka anda wajar membuat perancangan awal dimana anda mempunyai pilihan untuk membuat dokumen peperjanjian  harta sepencarian diantara suami dan isteri semasa hayat. Dimana di dalam dokumen tersebut pihak pihak telah bersetuju untuk mengisytihar mana-mana aset sebagai harta sepencarian serta menetapkan kaedah pengagihan harta tersebut.

Apabila berlaku kematian salah seoarng suami dan isteri maka harta tersebut akan dibahagikan mengikut dokumen tersebut tanpa perlu ke mahkamah syariah.Kaedah ini lebih mudah, murah dan menjimatkan masa.

Jika berminat sila hubungi saya melalui email amnafazillahismail@gmail.com

Ahad, 4 Mei 2014

Tips merancang wasiat

Wasiat adalah instrumen perancangan harta pusaka yang paling penting. Kenapa ia penting? Jawapannya adalah kerana dengan wasiat, pentadbiran harta pusaka akan menjadi lebih cepat dan mudah.
Adakah benar kenyataan tersebut?
Ia benar, dengan syarat wasiat dibuat dengan betul dan teratur.

Tips merancang isi kandungan wasiat:
  1. Pewasiat melantik wasi yang bertanggungjawab untuk mentadbir harta pusaka. Wasi yang dilantik mestilah orang yang amanah serta mampu melaksanakan tugas dengan baik dan adil. Sekiranya individu, maka perlu melantik sekurang-kurangnya 2 orang wasi. Sebaik-baiknya melantik syarikat pemegang amanah sebagai wasi.
  2. Pewasiat menyenaraikan liabiliti serta harta yang beliau ada. Senarai ini akan memudahkan tugas wasi untuk mentadbir tanpa membuang masa mencari atau meminta bantuan waris untuk mencari atau menyelidik harta milik pewasiat.
  3. Pewasiat melantik penjaga harta bagi anak kecil di bawah umur 18 tahun.
  4. Pewasiat membuat pengagihan mengikut hukum syarak. Tidak mengelirukan serta bersifat adil, praktikal, tidak membebankan waris serta menimbulkan perselisihan faham di antara waris.
  5. Pewasiat dibenarkan membahagikan tidak melebihi 1/3 daripada harta beliau kepada bukan waris faraid beliau seperti anak angkat, anak saudara, sahabat, untuk tujuan wakaf dan sedekah. Seeloknya sebahagiannya disedekahkan atau diwakafkan untuk tujuan agama dan kebajikan orang Islam.
  6. Memberi pesanan yang baik kepada ahli keluarga.
  7. Wasiat ditandatangani di dalam keadaan waras dengan kehadiran 2 orang saksi lelaki.
Wasiat bukan sekadar menyatakan hasrat berkenaan cara pengagihan harta tetapi yang lebih penting adalah perlaksanaan pentadbiran harta pusaka. 

Isnin, 28 April 2014

Sistem Pengagihan Pusaka Di Malaysia

Tahukah anda jika seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta maka harta pusaka beliau tersebut wajib diuruskan mengikut senarai di bawah mengikut keutamaan:


  1. Menguruskan perbelanjaan pengkebumian
  2. Menyelesaikan hutang dunia dan akhirat
  3. Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian
  4. Melaksanakan wasiat 1/3 kepada bukan waris [jika ada]
  5. Membahagikan baki harta mengikut mengikut hukum Faraid.

Pentadbiran harta pusaka merangkumi pengurusan hutang piutang simati serta pengagihan aset beliau.
Hutang akhirat yang wajib diselesaikan adalah zakat, fidyah,kaffarat,haji yang belum ditunaikan.
Manakala hutang dunia adalah segala hutang simati dengan institusi kewangan, individu,cukai cukai, kos pentadbiran dan pengurusan harta pusaka dan lain lain kos yang berkaitan.

Setelah selesai segala pembayaran hutang baru lah urusan pengagihan harta pusaka boleh di jalankan.

Jumaat, 25 April 2014

Set Herbanika Bersalin Nona Roguy



Bakal ibu-ibu  yang masih tercari-cari produk penjagaan diri semasa tempoh berpantang. Anda boleh membuat pilihan tepat dengan memilih Set Herbanika Bersalin keluaran Nona Roguy (NR).
Pasti anda tidak menyesal dengan pilihan anda kerana  produk ini terbukti berkesan.








SET HERBANIKA BERSALIN

Mengandungi:

  • Phyto Natal -   90 biji  - berbentuk tablet mampu memulihkan tenaga, membuang angin, menambahkan pengeluaran susu, tiada masalah sembelit serta mengembalikan bentuk badan 
  • Akar Herbanika - 10 Paket - dalam bentuk uncang melawaskan kencing dan mengembalikan bentuk badan
  • Minyak Herbanika -100ml  -minyak yang menyegarkan untuk sapuan pada pinggang,  perut dan badan  
  • Herbanika Barut (krim) - 60 gm - untuk mengempiskan berut disapu pada perut dan pinggang 
  • Uncang Cuci Herbanika - 10 paket  - untuk jagaan kebersihan dan kesegaran wanita
  • Hernanika Lulur -100 gm - untuk menyental kulit, kehalusan dan kebersihan kulit


Untuk tempahan sila
Whatsapp  0193305432
SMS          0193305432
email           amnafazillahismail@gmail.com

Sekiranya anda tidak mahu set loose item pun dijual.

                                    

Khamis, 24 April 2014

Tips Mengurus Polisi dan Wang Takaful

Teks: Amna Fazillah Ismail

A. Kenapa perlu perlindungan Takaful?
1.  Untuk memastikan anda masih dilindungi dan mempunyai sumber kewangan sekiranya disahkan koma atau berlaku kecacatan kekal atau menghidap penyakit kritikal;

2. Untuk memastikan anak-anak atau isteri/suami dilindungi serta mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan sekiranya anda  meninggal dunia maka

B. Kepada siapa wang tersebut anda ingin bahagikan dan bagaimanakah caranya?
    
Terdapat 3 pilihan:

  1.  wang takaful digunakan untuk pengurusan Harta Pusaka dan bakinya dibahagikan mengikut hukum     Faraid  kepada waris faraid. Anda perlu menamakan seorang individu sebagai wasi dalam borang       penamaa.
  2.  wang takaful diberikan secara keseluruhan/ lump sum kepada benefisiari khusus/ tertentu sebagai         penerima Hibah yang mutlak.  Anda perlu menamakan individu tersebut sebagai penerima Hibah di     dalam borang penamaan.
  3. wang takaful diberikan kepada benefisiari khusus/  tertentu mengikut cara pengagihan, arahan dan       yarat yang ditetapkan anda dan akan diuruskan oleh pemegang amanah. Anda perlu membuat           amanah takaful (surat ikatan amanah)  serta membuat penyerahan hakmilik polisi takaful (absolute       Assignment) kepada pemegang amanah.
C. Bolehkan saya bahagikan wang takaful tersebut kepada anak-anak saya tanpa mengikut hukum Faraid? 
   
Ya, dibenarkan  dan anda perlu membuat pilihan samada membuat penamaan Hibah atau penyerahan   hakmilik polisi kepada pemegang amanah.

D.  Risiko  jika menamakan  individu sebagai Wasi atau Penerima Hibah

1.  Risiko Menamakan isteri atau suami sebagai penama.

  • Mampukah isteri/suami menguruskan wang tersebut dengan baik.
  • Mendedahkan beliau kepada risiko dimanipulasi atau ditipu. Mampukah beliau  menangkis cubaan atau godaan orang sekeliling yang mendampingi beliau dengan niat jahat setelah tahu beliau telah menerima wang takaful yang banyak.         
  • Jika beliau dinamakan sebagi wasi maka cukupkah ilmu atau pengetahuan beliau berkaitan pengurusan dan pentadbiran pusaka.
  • Apakah akan berlaku jika penama tersebut meninggal dunia serentak bersama anda?  Wang takaful tersebut hanya boleh dikeluarkan setelah mahkamah keluarkan Surat Kuasa Mentadbir (jika meninggal dunia tanpa wasiat) atau Geran Probet (jika meninggal dunia berwasiat) yang memakan masaya yang panjang.Sepanjang tempoh tersebut ahli keluarga tiada sumber pendapatan untuk meneruskan hidup. manakal aset-aset lain telah terbeku. 

2.     Risiko menamakan anak-anak di bawah umur 18 tahun  sebagai Wasi atau Penerima Hibah dalam  borang penamaan.
      
       Sekiranya masa anda meninggal dunia dan ada  anak yang belum berusia 18 tahun maka wang takaful akan dibayar kepada ibu atau bapa  yang bertindak sebagai penjaga beliau .

   Persoalannya adakah anda pasti bahawa bahagian anak tersebut akan terjamin jika diuruskan oleh penjaga tersebut. Risiko manipulasi.
    
   Sekiranya ibubapa meninggal dunia serentak bersama atau terlebih dahulu maka yang  kemungkinan berikut akanberlaku;

a)    Jika wang tersebut tidak melebihi RM50 ribu akan diberikan  kepada mana-mana penjaga sah  anak tersebut
b)     Jika wang tersebut melebihi RM50 ribu akan diberikan kepada Pemegang Amanah Awam  (Amanah Raya Berhad) untuk  diuruskan sehingga anak berusia 18 tahun.

Sebarang tuntutan saraan diri perlu melalui Pemegang Amanah Awam. 
Maka tujuan asal Perlindungan Takaful iaitu membantu diri serta keluarga serta merta ketika kesukaran akan tersasar.

E.  Apakah langkah terbaik untuk memastikan wang takaful diagihkan kepada benefisiari yang diiginkan . 

  Membuat Amanah Takaful. Dimana anda perlu menyerahakmilik polisi takaful anda kepada Pemegang Amanah serta menandatangani surat ikatan amanah untuk tujuan tersebut.


F.  Kenapa  Amanah Takaful sangat penting
  1. Pengagihan wang takaful tidak tertakluk kepada hukum faraid. Boleh diberikan kepada mana-mana benefisiari yang dipilih. Boleh menamakan benefisiari gantian jika benefisiari utama meninggal dunia. Pembayaran wang takaful melalui amanah takaful dibuat kepada Pemegang Amanah. Ada Unsur kawalan terhadap pengagihan dan pengeluaran wang.  Pemegang Amanah akan membahagikan kepada benefisiari serta menguruskannya mengikut terma dan syarat yang ditetapkan di dalam surat ikatan amanah yang disediakan oleh syarikat pemegang amanah.
  2. Didalam surat ikatan amanah anda berhak menentukan dan mengawal cara wang tersebut dibelanjakan serta dibahagikan kepada benefisiari. Pemegang Amanah adalah badan pelaksana kawalan tersebut.
  3. Walaupun benefisiari di bawah umur tetapi masih lagi haknya terjamin dan akan segera mendapat manfaat segera daripada wang takaful tersebut mengikut terma dan syarat dalam surat ikatan amanah. Sebaliknya Pembayaran wang takaful melalui Hibah adalah secara bayaran keseluruhan/Lump sump. Setelah Benefisiari menerima wang tersebut maka beliau bebas untuk menggunakan serta membelanjakan wang tersebut mengikut kehendak beliau tanpa kawalan.
  4. Cuba anda fikirkan, sekiranya benefisiari baru berusia 18 tahun menerima wang tersebut, mampukah beliau menguruskan wang tersebut dengan baik?  Beliau  boleh menghabiskan wang tersebut dengan membeli barangan mahal atau untuk sebarang tujuan bersukaria dalam tempoh yang singkat. Ini akan mengundang sifat malas dan  kurang daya saing kerana telah mendapat kemewahan pada usia yang muda
   G. Apakah isikandungan Amanah Takaful
  1. Arahan untuk mengawal tujuaan  penggunaan wang takaful. Boleh menetapkan tujuan penggunaan sebagai contoh untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan saraan diri . Cara bayaran yuran pendidikan, jumlah saraan diri sepanjang tempoh pendidikan.   Contoh Pemegang Amanfah membayar yuran pendidikan terus kepada kolej, jumlah elaun saran diri adalah RM3,000 setiap bulan serta pengagihan  secara berperingkat.
  2.  Arahan untuk membayar hutang( jika ada)
  3. Arahan untuk mengembangkan harta amanah melalui pelaburan yang selamat
  4.  Tujuan sedekah jariah
  5.  Lain-lain tujuan keperluan dan mematuhi undang-undang dan hukum syarak. 



Isnin, 21 April 2014

Apa yang kita boleh buat dengan seminit

Teks:  Majalah Solusi


Tidak banyak yang boleh kita buat dengan seminit.
DENGAN SEMINIT KITA HANYA SEMPAT buat salah satu perkara berikut:
 

  1. berzikir ringkas  sebanyak 100 kali contoh  Subhanallah wa bihamdih..
  2. berselawat sebanyak 30 kali
  3. membaca sural al-Ikhlas sebanyak 15 kali
  4. membaca surah al Fatihah sebanyak 5 kali
  5. memberi salam  dan berjabat tangan dengan 5 orang
  6. membaca 2 helai halaman daripada majalah bermanafaat
  7. membaca sehelai halaman al-Quran
  8. mendapat reda dan restu ibu bapa dengan menelefon dan bertanya khabar mereka di kampung
  9.  mengangkat tangan berdoa memohon hajat kepada Allah 
Ya, Tidak Banyak yang boleh dilakukan dengan seminit. 
Semoga seminit tersebut mampu memberi manfaat dan pahala serta mendapat reda Allah. 
Insya Allah. 

Apa lagi jom... beramal seminit yang sangat berharga. 

Keperluan Wasiat menurut undang-undang di Malaysia


Teks : Amna Fazillah Binti Ismail

Menurut undang-undang Perwarisan Islam yang juga  dikenali sebagai Faraid, aset-aset  orang Islam yang telah meninggal dunia akan diserahkan  kepada waris-waris yang berhak berdasar bahagian yang telah ditentukan.
Sebagai contoh, sekiranya seorang suami meninggal dunia meninggalkan hanya seorang  bapa, seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, selepas pembayaran semua hutang beliau, aset-aset beliau akan dibahagikan menurut hukum Faraid seperti berikut:

  • Bapa                                                    -           satu per enam
  • Isteri                                                    -           satu per lapan
·   Anak lelaki dan anak perempuan          -           baki harta dalam nisbah 2 bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan

Berdasarkan kes ini, kebanyakkan orang Islam berpendapat bahawa  Wasiat  adalah tidak perlu dan membuang masa sahaja.

Wasiat bukan sahaja digalakkan  oleh Rasullullah S.A.W tetapi merupakan cara  menyatakan hasrat seseorang untuk membahagikan harta pusaka kepada benefisiari tertentu selepas kematian. Malah  yang lebih penting  adalah  Wasiat merupakan  satu mekanisme untuk membolehkan simat ketika masih hidup memilih seseorang yang beliau percayai  untuk bertindak sebagai Wasi yang akan mentadbir harta pusakanya menurut hasratnya apabila dia telah meninggal dunia kelak  Malah di dalam Wasiat,  pewasiat lelaki dibenarkan oleh  undang-undang Islam untuk melantik penjaga bagi harta anak-anak yang masih kecil.

Kewujudan Faraid atau Undang-undang perwarisan Islam bukanlah bermakna bahawa seseorang yang  berhak mewarisi menurut Faraid boleh mewarisi harta pusaka si mati dengan segera selepas kematian beliau .

Semua aset dan liabiliti si mati di kategorikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat di panggil sebagai Harta Pusaka Tidak Berwasiat (manakala Harta Pusaka Berwasiat apabila seseorang meninggal dunia meninggalkan Wasiat).

Banyak langkah perlu dilakukan oleh seorang benefisiari bagi harta pusaka tidak berwasiat sebelum mereka boleh menikmati harta pusaka tersebut. Peruntukan daripada Akta Probate dan Pentadbiran 1959 ,  Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955) , Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang berkaitan serta peraturan-peraturan mahkamah Tinggi  1980 perlu di gabungkan serta digunapakai dan ini termasuklah :

  • Permohonan Sijil perwarisan /Faraid daripada Mahkamah Syariah untuk menentukan bahagian/saham setiap benefisiari yang layak.
  • Permohonan Surat  Kuasa Mentadbir ke Mahkamah Tinggi ( untuk harta pusaka bernilai lebih daripada RM2,000,000)  oleh seseorang yang telah dilantik dan dipersetujui oleh semua benefisiari untuk bertindak sebagai pentadbir. Sekiranya tiada persefakatan dalam memilih seorang pentadbir proses permohonan ini akan tertangguh dan mengambil masa yang lama.
  •  Bagi harta pusaka yang bernilai RM 50,000.00 atau lebih, biasanya perintah mahkamah akan diperolehi sekiranya Pentadbir boleh menyediakan “ Bon Pentadbiran” dimana  penjamin tersebut  adalah untuk memastikan bahawa pentadbir melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kecuali pengecualian daripada bond pentadbiran tersebut diperolehi daripada mahkamah atau pentadbir yang dilantik adalah syarikat pemegang amanah.

Dari  segi masa, proses pembahagian harta pusaka tidak berwasiat mungkin boleh mengambil masa diantara satu ke dua tahun dan  mungkin lebih lama sekiranya benefisiari gagal memberi persetujuan dalam memilih pentadbir ataupun pentadbir gagal mendapatkan penjamin yang mencukupi. Sepanjang  proses undang-undang yang diperlukan berjalan, harta pusaka si mati akan terbeku.

Halangan-halangan yang telah disebut di atas dapat diatasi sekiranya si mati semasa hayatnya telah  membuat Wasiat dan melantik Syarikat Pemegang Amanah sebagai Wasi.

Wasiat menurut kacamata  Islam

Orang Islam digalakkan menulis Wasiat . Ada golongan yang bersifat sinis tentang mengapa perlu menulis Wasiat dengan mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membuat Wasiat. Hadis berikut menjelaskan keadaan sebenar bahawa  Rasulullah  S.A.W telah menulis Wasiat.

Diriwayatkan Talha bin Musharrif Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, “Adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasat? Dia menjawab “Tidak,” saya bertanya beliau “Bagaimanakah umat Islam disunatkankan supaya berwasiat (atau diperintahkan  supaya berwasiat? Ia menjawab, “Raslullah S.A.W berwasiat dengan kitab Allah (a Quran)
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Sesungguhnya, orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat . Seperti yang diriwayatkan
Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diWasiatkan untuk tidur dua malam kecuali Wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya”.

Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Keluarga adalah aspek yang penting bagi masyarakat Islam dan Faraid memastikan bahawa Pewasiat   tidak boleh menghalang  ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang  ahli keluarganya  mewarisi hartanya di dalam Wasiat, seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga asetnya  dan secara umumnya hanya kepada bukan waris. Hanya dengan persetujuan semua waris selepas kematian Pewasiat  peraturan satu pertiga tersebut boleh di atasi.

 Faraid dan Wasiat  dengan kata lain seperti undang-undang dan ekuiti dimana dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti  anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.

Kesedaran tentang Faraid

Faraid  adalah undang-undang perwarisan Islam yang menetapkan bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Ramai orang Islam yang salah faham tentang konsep Faraid serta tidak memahami peranan bersama diantara  Faraid dan Wasiat didalam Islam .

Seseorang yang meninggal dunia serta meninggalkan segala harta untuk dibahagikan menurut Faraid, mungkin tidak menyedari bahawa tindakannya itu mungkin boleh menyebabkan kesan tidak baik dari segi ekonomi. Sebagai contohnya seseorang yang meninggal dunia tanpa Wasiat meninggalkan waris  seorang isteri, 5 orang anak perempuan dan seorang abang serta meninggalkan  aset hanya sebuah rumah dan sebuah kereta. Faraid akan menetapkan bahagian yang diperolehi oleh setiap orang waris. Untuk mendapat kepentingan/keuntungan daripada perwarisan faraid mereka tersebut harta-harta tersebut mestilah dijual sebelum keuntungan hasil jualan tersebut boleh dibahagikan secara wajar menurut Faraid. Walau bagaimanapun setiap benefisiari mesti bersetuju agar aset tersebut dijual dan sekiranya salah seorang daripada mereka tidak bersetuju, harta tersebut akan ditinggalkan terbiar tanpa kesudahan.

Keadaan ini akan berbeza jika simati telah meninggalkan Wasiat. Dia masih boleh menetapkan didalam Wasiatnya untuk membahagikan aset-asetnya menurut Faraid dan pada masa yang sama di dalam Wasiatnya dia memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak menggunakan budi bicara yang luas untuk menjual asset tersebut tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada benefisiari. Daripada hasil jualan tersebut, pembahagian harta pusaka boleh dibahagikan tanpa bertangguh.

 Konklusi
  

Tidak dinafikan bahawa seseorang yang mempunyai aset tanpa  menbuat Wasiat akan menimbulkan  pelbagai kesusahan kepada orang-orang yang beliau sayangi apabila meninggal kelak. 

Khamis, 17 April 2014

Tips memilih set bersalin

Di pasaran menawarkan pelbagai produk penjagaan diri selepas bersalin. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Apakah kriteria yang perlu diberi perhatian apabila memilih set bersalin.
  1. Produk yang boleh pulihkan tenaga dan memberi kecergasan badan
  2. Produk yang boleh membuang angin di dalam badan
  3. Produk yang boleh mengelakkan sembelit
  4. Produk yang boleh memanaskan panas
  5. Produk yang boleh menyembuhkan luka dengan cepat samada luka koyakan atau ceaserian
  6. Produk yang boleh menambahkan pengeluaran susu badan
  7. Produk yang boleh mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat
  8. Produk yang mudah dan ringkas cara pengambilan dan penggunaannya
SET BERSALIN  HERBANIKA NONA ROGUY memenuhi kriteria kriteria di atas

TERBUKTI BERKESAN

Cash on delivery [COD] sekitar kawasan Taman Medan, Kinrara Puchong, Kelana Jaya, PJ State, PJ Old Town dan Bandar Sunway.
Lain lain kawasan penghantaran melalui pos laju atau gdex.

Berminat sila pm atau whatsapp 0193305432

Pembelian tanpa set pun boleh (loose item).



Isnin, 14 April 2014

Faraid sebagai Panduan Merancang Pusaka


Teks: Amna Fazillah Binti Ismail

 Faraid : Bahagian 2


1.  Inti Pati  Faraid:

(a)    Siapa waris dan Bahagian pengagihan kepada setiap waris adalah  telah  ditetapkan
(b)    Waris yang bukan beragama  Islam tidak akan mewarisi melalui Faraid
(c)     Anak angkat atau anak yang tidak sah taraf tidak akan mewarisi melalui Faraid


2.  Senarai Ahli-Ahli Waris yang layak Menerima Harta Pusaka melalui Faraid

     Seramai 15  orang Waris lelaki dan 10 waris Perempuan


       2.1   Senarai Waris lelaki adalah:


  1. Anak Lelaki
  2. Cucu lelaki daripada anak lelaki
  3. Bapa
  4. Datuk
  5. Sadara Lelaki seibu sebapa
  6. Saudara lelaki sebapa
  7. Saudara  lelaki seibu
  8. Anak saudara lelaki dari seibu sebapa
  9. Anak saudara lelaki sebapa atau seibu
  10. Bapa saudara seibu sabapa
  11. Bapa saudara lelaki sebapa
  12. Sepupu dari bapa saudara seibu sebapa
  13. Sepupu dari bapa saudara sebapa
  14. suami
  15. Hamba  sahaya lelaki

     2.1.1  Jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya 3 orang sahaja   yang   layak iaitu:

  1. Bapa
  2. Anak Lelaki
  3. Suami

2. 2  Senarai Waris Perempuan:

  1. Anak Perempuan
  2. Cucu lelaki dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. nenek sebelah ibu
  5. Nenek sebelah bapa
  6. Saudara perempuan seibu sebapa
  7. saudara perempuan seibu
  8. saudara perempuan seibapa
  9. isteri
  10. Tuan perempuan bagi hamba sahaya


2.2.1  Jika kesemua ahli waris diatas wujud  maka hanya 5 orang yang layak

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan dari anak lelaki
  3. Ibu
  4. Saudara perempuan seibu sebapa
  5. Isteri


2.3  Jika kesemua 25 waris lelaki dan perempuan masih hidup maka keutamaan akan diberi kepada hanya waris berikut:

WARIS UTAMA –waris yang secara umumnya tidak terdinding

  1. Bapa
  2. Ibu
  3. Anak lelaki
  4. Anal Perempuan
  5. Suami/isteri


Rahsia setiap waris memperoleh bahagian yang berbeza. 

Faraid itu sebenarnya adalah sangat mementingkan hubungan kekeluargaan. Setiap waris yang menerima bahagian tersebut sebenarnya mereka juga wajib memikul tanggungjawab. 

Waris lelaki akan menerima bahagian yang lebih banyak berbanding waris perempuan kerana lelaki adalah tunjang keluarga, lelaki yang wajib menjaga keluarga, lelaki yang wajib menyara keluarga. 

Harta yang diwarisi sebenarnya bukanlah untuk kegunaan sendiri sahaja, sebaliknya sebahagian daripada harta tersebut wajib digunakan untuk waris-waris simati yang berada di bawah tanggungjawab mereka. 

Bapa yang mewarisi harta wajib menyara cucu-cucu, adik-beradik simati yang mewarisi wajib menyara dan menjaga kewajiban anak-anak buah yang kematian bapa. Anak lelaki wajib menyara adik beradik perempuan. Begitulah seterusnya...   

Malangnya kita tidak memahami konsep dan hikmah faraid tersebut. Hubungan kekeluargaan pada masa kini telah longgar.

Ahad, 13 April 2014

Faraid sebagai panduan merancang pusaka

Teks:Amna Fazillah Binti Ismail

Bahagian 1



Faraid adalah hukum perwarisan Islam yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Faraid disebut secara jelas di dalam Al-Quran surah an nisa ayat 11. Siapa waris yang berhak mendapat harta pusaka melalui faraid serta bahagian setiap waris ditetapkan dan disebut secara jelas di dalam ayat tersebut. 

Siapakah yang berhak menwarisi harta pusaka melalui FARAID: 
a. orang yang pertalian darah iaitu ibu bapa, anak, adik beradik datuk, nenek dan lain lain 
b. hubungan perkahwinan iaitu suami atau isteri 
c. baitul mal

Setiap waris berhak ke atas faraid mengikut keadaan tertentu. Waris utama yang wajib mewarisi melalui Faraid adalah ibu bapa, anak lelaki, anak perempuan dan suami atau isteri. Mereka ini tidak akan terkecuali walau dalam apa keadaan sekali pun. 

Hukum Faraid akan terpakai secara automatik apabila seseorang itu meninggal dunia. Walau bagaimanapun jika ada persepakatan di antara waris waris maka ia boleh tidak dipakai dalam urusan pengagihan. Faraid merupakan garis panduan sekiranya tiada persepakatan. 

Faraid adalah satu hukum yang sendat dan tetap, maka bagi keluarga yang tidak ideal untuk faraid maka mereka perlu merancang pengagihan bagi memenuhi keperluan keluarga tersebut dengan menggunakan instrumen Wasiat, Hibah, Amanah, perjanjian Harta Sepencarian, dan wakaf. 

Faraid adalah penting di fahami. Ia merupakan tunjang utama di dalam perancangan harta pusaka. Dengan memahami kedudukan keluarga dan faraid maka perancangan yang rapi serta holistik dapat disediakan bagi memenuhi keperluan keluarga serta hasrat seseorang.

Sabtu, 12 April 2014

Sambil menyelam minum air di Pulau Tioman

Assalamualaikum,



Syarikat telah menganjurkan Trip ke Tioman bagi meraikan rakan niaga yang telah memberi sumbangan  sepanjang Tahun 2013. Seramai 52 orang telah terpilih untuk menyertai trip ini dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. 

Saya telah dipilih oleh syarikat sebagai koordinator untuk memastikan perjalanan trip tersebut berjalan lancar. Peluang yang ada tidak saya lepaskan cuma masalahnya saya memang tak boleh berpisah lama dengan anak-anak. Setakat ini paling lama pun hanya semalam yang boleh berjauhan itupun atas urusan kerja. Kalau lebihlama  tidak keruan hidup saya. 
  
Memandangkan trip 3 hari 2 malam bermula hari jumaat maka saya membawa suami dan anak-anak sekali . Kos ditanggung sendiri . Tak kisahlah janji senang hati dan mereka pun suka hati. 

Perjalanan makan masa agak lama juga bertolak dengan bus jam 11 malam hari khamis ke Jeti Tanjung Gemuk. Feri ke Tioman jam 11 pagi dan Alhamdulillah sampai ke Tioman jam 1.30 tengahari.  Penat  badan menempuh perjalanan yang jauh. Tapi alhamdulillah hajat saya untuk bawa keluarga ke Pualau Tioman tercapai juga akhirnya. Bekerja sambil bercuti bersama keluarga. 

Anak-anak saya memang sangat gemar mandi laut dan buat aktiviti lasak. Tambah lagi kegembiraan mereka apabila ramai kawan-kawan sebaya yang pergi bersama. 
  
Kami menginap di Sun Beach Resort. Chalet mengadap laut. Mutu perkhidmatan, makanan dan aktiviti  disini agak bagus dan memuaskan semua peserta. 

Pulau Tioman ini memang sangat cantik, air yang jernih kehijauan , ikan-ikan sangat jinak jelas kelihatan dipermukaan air campakkan roti ke permukaan air. Masya Allah cantik sungguh ikan-ikan tersebut. 
 Aktiviti snorkeling di Marine Park  memang mengujakan. Kagum dengan ciptaan Allah. Ikan sangat jinak bermain-main di kaki. 

2 malam di Pulau Tioman memang tak cukup. Insya Allah  ada rezeki akan datang lagi. 



Selasa, 1 April 2014

Majlis Pembacaan Wasiat



Teks: Amna Fazillah Binti Ismail

Setiap  bulan  sekurang-kurangnya ada  satu  majlis pembacaan wasia .


Mac  yang lepas  ada salah seorang pewasiat meninggal dunia. Maka aku menghubungi waris-waris arwah untuk majlis pembacaan wasiat beliau.

Aku terkejut kerana maklum balas daripada waris,  mereka mahukan 3 majlis berasingan untuk waris yang berlainan  dilakukan. Pelik benar  keluarga ni..

Selama 10 tahun bekerja ini adalah kes pertama wasiat dibaca kepada waris di dalam  3 majlis yang berbeza walaupun semua waris berkenaan berada di Lembah Klang, yang amat mudah untuk datang ke pejabat aku.

Puncanya berlaku  pertelingkahan keluarga:  adik, abang,kakak dan mak tak boleh bersatu dan bertemu. Telah lama tidak bertegur sapa sesama sendiri.  Masya Allah, rapuhnya hubungan kekeluargaan....

Sedih... kesemua mereka adalah beragama Islam, golongan terpelajar,bekerja dalam syarikat besar dan berjawatan besar.

Episod seterusnya....


Majlis 1: Waris yang hadir isteri, 2  anak lelaki dan anak perempuan. Malangnya  baru nak mula baca tetiba salah seorang anak lelaki bangun keluar bilik tanpa hormati ibu beliau....

Majlis 2: anak lelaki Sulung

Majlis 3: anak lelaki kedua


Setiap majlis mempunyai versi cerita yang berbeza......


Kesal

assalamualaikum....

Subhanallah, sesungguhnya apa yang berlaku hanya Engkau yang tahu rahsia dan hikmahnya...


Sesungguhnya benar masa itu emas.
Masa yang telah berlalu tidak mungkin dapat berpatah semula.....


Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna.

Kerana terlalu berlengah serta mengambil ringan akan sesuatu perkara akhirnya membawa mudarat yang berpanjangan atau seumur hidup.

Setelah sedar, bangkitlah dan bertindaklah membaiki keadaan diiringi doa agar Allah memudahkan segala usaha dan urusan. Selebihnya tawakal Allah.

Sabtu, 22 Mac 2014

MATI ITU PASTI TETAPI MASANYA YANG TIDAK PASTI.



Assalamualaikum

Bekerja di dalam bidang perancangan dan pentabdiran pusaka memberi peluang kepada saya berdepan dengan pelanggan serta waris keluarga yang pelbagai kerenah
serta masalah masing setiap hari. Muhasabah diri melihat setiap yang berlaku. Fahami bahawa MATI ITU PASTI TETAPI MASANYA YANG TIDAK PASTI.

Adakah persediaan dan perancangan Kearah Mati itu telah dibuat? Persediaan dan Perancangan untuk diri sendiri sebagai bekalan serta untuk keluarga yang disayangi yang bakal ditinggal agar mudah dan senang mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Sesungguhnya saya akur bahawa Harta boleh menyatukan keluarga tetapi juga boleh memporak perandakan keluarga. Sikap tamak mampu menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga hilang sifat ihsan.Paling menyedihkan ada yang menyalahkan hukum Faraid hukum Allah yang tidak adil.

Subhanallah sesungguhnya hukum Allah itu sangat cantik dan penuh dengan hikmah cuma manusia yang tidak faham akan hikmahnya dan juga  ramai yang tidak faham bahawa konsep Harta adalah hak Allah, manusia khalifah Allah hanyalah pemegang amanah sahaja·

Merancanglah segera semasa hayat agar segala harta yang di usahakan semasa hidup mampu membantu diri sendiri di alam barzakh serta dapat dinikmati oleh orang kesayangan tanpa masalah, pertelingkahan dan di redhai Allah·

Cuti Sekolah dah mula

Assalamualaikum

Hari ini dah mula cuti sekolah· Sejak minggu lepas anak anak dah sibuk tanya mama tak balik kampung ke cuti sekolah. Sememangnya dah lama sangat tak balik Melaka menjenguk mak saudara saya. Anak anak saya pulak dah rindu sangat nak mandi laut manakala yang bongsu pulak dah rindu sangat dengan Nenek Teh. Bila cakap yang hari ni nak balik kampung meloncat gembira terus telefon Nenek Teh bagitau berita gembira. Dia dah suruh Nenek Teh masakkan lauk kegemaran dia masak pindang ikan parang· Umur baru 3 tahun lebih dah pandai minta macam macam tak tahu la dah besar nanti lagi banyak permintaan dia· Tapi masak pindang ikan parang yang baru turun dari laut memang sedap manis kuahnya. Makan dengan nasi panas dan sambal belacan. 3 pinggan nasi tak apa apakan.

Cuti sekolah ini cuti saya dibekukan jadi cuma boleh balik kampung 2 hari untuk gembirakan hati 3 orang permata hati saya. Jadilah lepaskan rindu..... Semoga kami dapat menghabiskan masa bersama dengan gembira insya allah·

Isnin, 17 Mac 2014

Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk membina blog ini. blog ini adalah medium untuk saya berkongsi pengalaman serta sedikit ilmu yang ada di dalam bidang perancangan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengalaman Selama 10 tahun bekerja didalam bidang ini membuka mata saya bahawa majoriti orang islam khususnya bangsa melayu sangat kurang pendedahan mengenai ilmu pusaka.
Kurang faham, tiada ilmu serta tiada kesedaran punca mereka gagal merancang harta pusaka. Kenapa perlu merancang? Apa akibat gagal merancang? Apakah kesan jika merancang tetapi dengan cara yang salah dan tidak tepat? Apakah tip dan cara merancang dengan betul?

Insya allah saya akan terangkn satu persatu·