Isnin, 21 April 2014

Keperluan Wasiat menurut undang-undang di Malaysia


Teks : Amna Fazillah Binti Ismail

Menurut undang-undang Perwarisan Islam yang juga  dikenali sebagai Faraid, aset-aset  orang Islam yang telah meninggal dunia akan diserahkan  kepada waris-waris yang berhak berdasar bahagian yang telah ditentukan.
Sebagai contoh, sekiranya seorang suami meninggal dunia meninggalkan hanya seorang  bapa, seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, selepas pembayaran semua hutang beliau, aset-aset beliau akan dibahagikan menurut hukum Faraid seperti berikut:

  • Bapa                                                    -           satu per enam
  • Isteri                                                    -           satu per lapan
·   Anak lelaki dan anak perempuan          -           baki harta dalam nisbah 2 bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan

Berdasarkan kes ini, kebanyakkan orang Islam berpendapat bahawa  Wasiat  adalah tidak perlu dan membuang masa sahaja.

Wasiat bukan sahaja digalakkan  oleh Rasullullah S.A.W tetapi merupakan cara  menyatakan hasrat seseorang untuk membahagikan harta pusaka kepada benefisiari tertentu selepas kematian. Malah  yang lebih penting  adalah  Wasiat merupakan  satu mekanisme untuk membolehkan simat ketika masih hidup memilih seseorang yang beliau percayai  untuk bertindak sebagai Wasi yang akan mentadbir harta pusakanya menurut hasratnya apabila dia telah meninggal dunia kelak  Malah di dalam Wasiat,  pewasiat lelaki dibenarkan oleh  undang-undang Islam untuk melantik penjaga bagi harta anak-anak yang masih kecil.

Kewujudan Faraid atau Undang-undang perwarisan Islam bukanlah bermakna bahawa seseorang yang  berhak mewarisi menurut Faraid boleh mewarisi harta pusaka si mati dengan segera selepas kematian beliau .

Semua aset dan liabiliti si mati di kategorikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat di panggil sebagai Harta Pusaka Tidak Berwasiat (manakala Harta Pusaka Berwasiat apabila seseorang meninggal dunia meninggalkan Wasiat).

Banyak langkah perlu dilakukan oleh seorang benefisiari bagi harta pusaka tidak berwasiat sebelum mereka boleh menikmati harta pusaka tersebut. Peruntukan daripada Akta Probate dan Pentadbiran 1959 ,  Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955) , Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang berkaitan serta peraturan-peraturan mahkamah Tinggi  1980 perlu di gabungkan serta digunapakai dan ini termasuklah :

  • Permohonan Sijil perwarisan /Faraid daripada Mahkamah Syariah untuk menentukan bahagian/saham setiap benefisiari yang layak.
  • Permohonan Surat  Kuasa Mentadbir ke Mahkamah Tinggi ( untuk harta pusaka bernilai lebih daripada RM2,000,000)  oleh seseorang yang telah dilantik dan dipersetujui oleh semua benefisiari untuk bertindak sebagai pentadbir. Sekiranya tiada persefakatan dalam memilih seorang pentadbir proses permohonan ini akan tertangguh dan mengambil masa yang lama.
  •  Bagi harta pusaka yang bernilai RM 50,000.00 atau lebih, biasanya perintah mahkamah akan diperolehi sekiranya Pentadbir boleh menyediakan “ Bon Pentadbiran” dimana  penjamin tersebut  adalah untuk memastikan bahawa pentadbir melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kecuali pengecualian daripada bond pentadbiran tersebut diperolehi daripada mahkamah atau pentadbir yang dilantik adalah syarikat pemegang amanah.

Dari  segi masa, proses pembahagian harta pusaka tidak berwasiat mungkin boleh mengambil masa diantara satu ke dua tahun dan  mungkin lebih lama sekiranya benefisiari gagal memberi persetujuan dalam memilih pentadbir ataupun pentadbir gagal mendapatkan penjamin yang mencukupi. Sepanjang  proses undang-undang yang diperlukan berjalan, harta pusaka si mati akan terbeku.

Halangan-halangan yang telah disebut di atas dapat diatasi sekiranya si mati semasa hayatnya telah  membuat Wasiat dan melantik Syarikat Pemegang Amanah sebagai Wasi.

Wasiat menurut kacamata  Islam

Orang Islam digalakkan menulis Wasiat . Ada golongan yang bersifat sinis tentang mengapa perlu menulis Wasiat dengan mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membuat Wasiat. Hadis berikut menjelaskan keadaan sebenar bahawa  Rasulullah  S.A.W telah menulis Wasiat.

Diriwayatkan Talha bin Musharrif Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, “Adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasat? Dia menjawab “Tidak,” saya bertanya beliau “Bagaimanakah umat Islam disunatkankan supaya berwasiat (atau diperintahkan  supaya berwasiat? Ia menjawab, “Raslullah S.A.W berwasiat dengan kitab Allah (a Quran)
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Sesungguhnya, orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat . Seperti yang diriwayatkan
Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diWasiatkan untuk tidur dua malam kecuali Wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya”.

Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Keluarga adalah aspek yang penting bagi masyarakat Islam dan Faraid memastikan bahawa Pewasiat   tidak boleh menghalang  ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang  ahli keluarganya  mewarisi hartanya di dalam Wasiat, seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga asetnya  dan secara umumnya hanya kepada bukan waris. Hanya dengan persetujuan semua waris selepas kematian Pewasiat  peraturan satu pertiga tersebut boleh di atasi.

 Faraid dan Wasiat  dengan kata lain seperti undang-undang dan ekuiti dimana dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti  anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.

Kesedaran tentang Faraid

Faraid  adalah undang-undang perwarisan Islam yang menetapkan bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Ramai orang Islam yang salah faham tentang konsep Faraid serta tidak memahami peranan bersama diantara  Faraid dan Wasiat didalam Islam .

Seseorang yang meninggal dunia serta meninggalkan segala harta untuk dibahagikan menurut Faraid, mungkin tidak menyedari bahawa tindakannya itu mungkin boleh menyebabkan kesan tidak baik dari segi ekonomi. Sebagai contohnya seseorang yang meninggal dunia tanpa Wasiat meninggalkan waris  seorang isteri, 5 orang anak perempuan dan seorang abang serta meninggalkan  aset hanya sebuah rumah dan sebuah kereta. Faraid akan menetapkan bahagian yang diperolehi oleh setiap orang waris. Untuk mendapat kepentingan/keuntungan daripada perwarisan faraid mereka tersebut harta-harta tersebut mestilah dijual sebelum keuntungan hasil jualan tersebut boleh dibahagikan secara wajar menurut Faraid. Walau bagaimanapun setiap benefisiari mesti bersetuju agar aset tersebut dijual dan sekiranya salah seorang daripada mereka tidak bersetuju, harta tersebut akan ditinggalkan terbiar tanpa kesudahan.

Keadaan ini akan berbeza jika simati telah meninggalkan Wasiat. Dia masih boleh menetapkan didalam Wasiatnya untuk membahagikan aset-asetnya menurut Faraid dan pada masa yang sama di dalam Wasiatnya dia memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak menggunakan budi bicara yang luas untuk menjual asset tersebut tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada benefisiari. Daripada hasil jualan tersebut, pembahagian harta pusaka boleh dibahagikan tanpa bertangguh.

 Konklusi
  

Tidak dinafikan bahawa seseorang yang mempunyai aset tanpa  menbuat Wasiat akan menimbulkan  pelbagai kesusahan kepada orang-orang yang beliau sayangi apabila meninggal kelak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan