Warisan Keluarga
5 Ogos 2025 pada jam 10 pagi , saya dan IEP bertemu Encik X seorang jurutera dan usahawan berjaya yang kini beralih angin menjadi usahawan tani.
Di dalam bilik mesyuarat yang lengkap dengan projector dan papan putih serta reka bentuk moden kami mulakan perbincangan.
Dengan penuh semangat dan lontaran suara yang lantang, En. X membuka bicara:
"Saya ada tanah 100 ekar, saya buat projek pertanian tanam pokok durian dan limau serta ternakan kambing dan lembu dan alhamdulillah keuntungannya boleh tahan".
"Saya nak tanah ni kekal dan tak boleh dijual dan diuruskan oleh anak cucu saya secara bersama,” dan hasil projek pertanian saya nak buat dana pendidikan untuk keturunan saya," sambung En. X .
Panjang lebar jugalah beliau terangkan hasrat dan impian beliau.
"Awak tahu tak Amna", kata beliau
"Kat Malaysia ni tak ada pertanian skala besar betul betul berjaya, yang ada banyak skala petani kecil. Impian saya besar dalam bidang pertanian untuk saya bersara dengan bergaya," kata beliau.
Saya hanya mengangguk kepala tanda faham dan hormat terhadap hasrat murni beliau. Sangat jelas cinta beliau terhadap tanah dan masa depan anak cucu.
Saya mula menyusun kata,
"En. X, impian tuan ini boleh dilaksanakan melalui instrument Amanah dimana tuan perlu membentuk Amanah untuk tanah- tanah tersebut. Dengan amanah, niat tuan dapat didokumenkan secara sah, dan pengurusan tanah akan kekal tersusun mengikut kehendak tuan,"Saranan saya kepada beliau .
Saya pun terangkan konsep amanah, peranan dan tugas pemegang amanah, serta terma dan syarat yang wajar selari dengan hasrat beliau.
Beliau senyum sambil mengangguk.
"Saya setuju dengan cadangan awak. Tapi saya nak tahu semua kos terlibat,” katanya tenang tapi penuh makna.
Berbunga bunga hati saya dan ini petanda baik.
Dengan cepat saya jawab,
"Baik tuan, saya akan sediakan kertas cadangan lengkap. Insyaallah saya email hari jumaat kepada Encik".
Pertemuan 2 jam itu buat saya kagum dengan En. X.
Saya diberitahu, beliau sanggup melepaskan syarikat S, yang dibina sendiri selama lebih 31 tahun. Nilainya mencecah ratusan juta ringgit. Beliau mahu memberi tumpuan dan modal kepada projek-projek pertanian.
"Syarikat ni hasil jerih perih saya,” kata beliau sambil memandang jauh, seolah-olah mengimbas kembali perjalanan panjang penuh cabaran. Tapi kalau anak-anak urus bersama tanpa persefahaman, ia boleh jadi punca masalah besar".
Beliau menambah sambil tersenyum yakin,
"Tapi tanah 100 ekar ni lain", "Saya percaya, dengan tanah ni... mereka boleh bersatu. Mereka boleh urus bersama. Tanah ini akan jadi pengikat kasih sayang dan amanah keluarga".
Saya terdiam seketika, kagum dengan kebijaksanaan dan keberanian beliau. Bukan mudah untuk melepaskan sesuatu yang dibina dengan keringat dan pengorbanan.
Kata-katanya menyentuh hati saya. Inilah contoh sebenar seorang pemimpin keluarga yang memikirkan warisan bukan sekadar dari segi harta, tetapi nilai, kasih sayang, dan perpaduan.
Warisan bukan sekadar apa yang kita tinggalkan, tetapi bagaimana kita meninggalkannya.