Dilema isteri kematian
suami.  
Puan Hana (bukan nama sebenar) telah kematian suami
sekitar tahun 2014 . Mereka dikurniakan 3 orang anak perempuan dan 3 orang anak
lelaki berusia diantara 8 hingga 19 tahun dan kesemuanya masih belajar.  Semasa hayat 
suami, Puan Hana dan anak-anak hidup dalam keadaan selesa dan mewah  dimana semua keperluan disediakan oleh suami
dan apabila suami meninggal dunia kehidupan mereka berubah 360 darjah. 
Puan Hana yang masih dalam keadaan sedih terpaksa
memikul tanggungjawab suami menguruskan rumah tangga dan menyediakan keperluaan
anak serta menyelesaikan segala bil-bil tertunggak serta bayaran ansuran
bulanan rumah dan kereta. Kekangan kewangan merupakan masalah yang paling besar
kerana beliau  tiada sumber pendapatan.
Pada masa yang sama segala akaun- akaun bank arwah suami telah dibekukan sebaik
sahaja beliau memaklumkan kematian suami kepada pihak bank.  Keadaan bertambah rumit apabila insurans dan cukai
jalan kenderaan telah mati dan tidak dapat diperbaharui kerana arwah suami
telah meninggal dunia lebih 2 tahun. Keadaan ini menyebabkan beliau hilang arah,
tertekan serta dilema dan keliru  bagaimana
untuk menguruskan harta pusaka suaminya serta cara untuk mengeluarkan wang
simpanan arwah suami di institusi kewangan. 
 Telah lebih 4
tahun arwah suami meninggalkan beliau dan anak-anak tetapi urusan harta pusaka
masih lagi belum selesai.  Beliau
bersyukur  kerana kini telah dipertemukan
dengan pihak yang mahir  serta mendapat
nasihat yang betul tentang cara pengurusan harta pusaka arwah suaminya walaupun
terlewat. 
Hak
Waris-Waris 
Hukum perwarisan Islam iaitu Faraid telah
ditetapkan secara jelas di dalam Al Quran surah An Nisa’ ayat 11 dan 12. Pembahagian
harta melalui Faraid memberi hak kepada setiap waris yang ditinggalkan oleh si
mati. Waris  yang wajib mewarisi harta
pusaka si mati adalah ibu, bapa, suami isteri dan anak-anak  dan mereka ini  tidak akan dinafikan hak mereka selagimana
mereka beragama Islam.  
Dalam kes Puan Hana di atas   hak faraid beliau sebagai isteri adalah 1/8 ,
hak faraid  Ibu arwah suami  adalah 1/6 , manakala  bakinya dibahagikan kepada 3 anak lelaki dan 3
anak perempuan dimana dua bahagian adalah hak anak lelaki  dan satu bahagian adalah hak  anak perempuan. 
Pun begitu,  perletakkan dan penerimaan hak Faraid tersebut
perlu dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang betul. Tanpa proses
tersebut maka hak milik waris faraid tidak dapat didaftarkan dan di bahagikan secara
rasmi. Harta-harta simati juga akan tetap terbeku dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya
oleh waris berkenaan dan waris akan sengsara. 
Pentadbiran
Harta Pusaka
Di Malaysia, apabila seseorang meninggal dunia maka
semua harta yang didaftarkan di atas nama beliau terbeku. Proses pencairan aset
perlu dilaksanakan.  Bagi pusaka orang
Islam wajib melalui dua (2)  saluran
undang-undang iaitu undang-undang Sivil dan Syariah. 
Undang undang Sivil perlu dipatuhi bagi
membuat  proses pencairan aset. Aset
perlu dicairkan untuk menyelesaikan hutang serta melaksanakan pengagihan kepada
semua waris yang berhak.  Permohonan Surat
Kuasa Mentadbir perlu dilaksanakan untuk melantik seorang pentadbir harta pusaka
 dimana ia perlu dimohon  ke Mahkamah Tinggi Sivil atau Jabatan Ketua
Pengarah Tanah dan Galian (Unit Pusaka Kecil) atau Amanah Raya Berhad (mengikut
nilaian dan jenis aset yang ditinggalkan). Pentabdir pusaka adalah individu
yang bertanggung jawab untuk mentadbir dan menguruskan  harta dan liabiliti si mati. 
Manakala undang-undang Syariah pula adalah untuk
mengesahkan siapa waris yang berhak ke atas 
pusaka simati serta  bahagian yang
di warisi. Permohonan sijil faraid perlu di pohon di Mahkamah Syariah. 
Pentadbir Harta Pusaka yang layak dilantik adalah
Syarikat amanah yang berdaftar di Malaysia atau   individu  yang dipercayai, bersifat amanah serta adil ,
berkebolehan  dan boleh diharapkan oleh
waris  faraid dan keluarga simati  untuk menguruskan harta pusaka dan
melaksanakan pengagihan harta pusaka mengikut hukum Syariah dan undang-undang.
Tanpa Surat Kuasa Mentabir  serta sijil
faraid harta pusaka simati tidak boleh dicairkan dan diagihkan serta hutang
juga tidak dapat diselesaikan. Proses yang disebuat di atas akan lebih mudah
dan cepat  jika semasa hayat,  simati telah membuat dokumen perancangan
harta  serta melantik pentabir harta
pusaka. 
Kesimpulan
Mati adalah Pasti. 
Setiap yang hidup akan merasai  kematian.
Tetapi bila, dimana dan bagaimana kematiaan itu berlaku tiada kepastian
keadaannya.  
Oleh itu, Ayuh,  Jangan Bertangguh. Buatlah Perancangan Harta
semasa Hayat untuk kemudahan waris kesayangan yang ditinggalkan supaya
pengalaman Puan Hana tidak berlaku kepada keluarga anda.   Lantiklah
Wasi iaitu pentadbir harta pusaka  yang
akan mentadbir harta pusaka dan liabiliti anda. Rancanglah bagaimana kaedah
pengagihan yang anda inginkan untuk kesenangan waris kesayangan. Anda juga boleh
menjana pahala melalui  Wasiat  dengan pemberian  sedekah dan jariah/waqaf   tertakluk kepada 1/3 daripada harta pusaka. 
Nota: Artikel di atas telah di terbitkan dalam  Majalah Nona keluaran Bulan Jun 2019 . 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan