Pembahagian harta pusaka mengikut
kaedah faraid adalah pembahagian  harta
yang berdasarkan  dalil-dalil  yang sahih 
daripada  al-Quran. Faraid boleh
diwarisi atas sebab pertalian darah, perkahwinan dan agama. Waris utama yang
berhak adalah ibu, bapa, suami/isteri dan anak Lelaki dan anak Perempuan.  
Apabila berlaku kematian ke atas pemilik
harta, hukum Faraid telah menetapkan bahagian dan peraturan tertentu  kepada setiap waris yang ditinggalkan. Ia yang
dinyatakan secara khusus di dalam Al Quran Surah An- Nisa ayat  7, 8, 9, 10, 
11 dan 12 . 
Terdapat perbezaan pembahagian di antara
waris lelaki dan perempuan dimana waris perempuan akan mendapat bahagian yang sedikit
berbanding waris lelaki. Perbezaan ini secara umum kelihatan  tiada kesamarataan serta keadilan  di antara jantina dari segi pengagihan. 
Hikmah Faraid 
Perlu difahami bahawa terdapat
hikmah di sebalik perbezaan tersebut. Islam meletakkan tanggungjawab yang besar
kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita. 
Kaum lelaki bertanggung jawab untuk melindungi serta menyara waris wanita
di bawah tanggungannya. Seorang  suami
atau bapa  bertanggung jawab untuk
menyara  dan memberi nafkah kepada isteri
dan  anak-anak. Adik beradik lelaki
merupakan wali yang bertanggungjawab kepada kakak,  adik perempuannya serta anak saudaranya yang
yatim. Kaum lelaki menerima  hak
Faraid  beserta tanggungjawab.   Bahagian
Faraid yang diterima oleh kaum lelaki wajar digunakan untuk menyara kaum wanita
di bawah tanggunggannya,  sebaliknya
bahagian yang diterima oleh wanita 
adalah hak mutlak beliau. 
Hukum Faraid sangat menekankan
struktur keluarga serta tanggungjawab di mana kaum lelaki berperanan besar
sebagai pelindung dan  ketua keluarga.  Walau bagaimanapun,  pada masa kini, ada segelintir waris  gagal melaksanakan tanggung jawab sebagai
pelindung dan  ketua keluarga . Hak
Faraid yang mereka terima digunakan untuk kepentingan peribadi tanpa
menghiraukan nasib waris-waris wanita atau anak-anak yatim. 
Kesannya, hikmah hukum Faraid
gagal difahami oleh orang Islam. Malah mereka beranggapan bahawa ia satu hukum
yang rigid, tidak adil dan zalim kerana berlaku diskriminasi  dikalangan kaum wanita. 
Hukum Allah berkenaan Faraid
adalah kekal, namun cara hidup, cara berfikir dan perbuatan manusia yang sering
berubah. Janganlah kita menyalahkan hukum Allah. Sebaliknya kita wajar
bermuhasabah serta kembali kepada ajaran Islam dan  melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai
seorang Muslim. 
Penyelesaian 
Faraid adalah satu kaedah
pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah apabila berlaku kematian ke atas
pemilik harta. Walau bagaimanapun, waris-waris Faraid dibenarkan secara
bermuafakat dengan rela hati untuk menolak bahagian Faraid tersebut atau
melaksanakan pengagihan mengikut budicara serta persetujuan semua waris. 
Bagi mengimbangi Faraid dari segi
pengagihan, Islam menyediakan insrumen lain iaitu Hibah sebagai  satu kaedah perancangan Harta Pusaka. Hibah
adalah pemberian harta tanpa sebarang balasan kepada individu tertentu yang dilaksanakan
oleh pemilik harta semasa hayat beliau. Harta Hibah tidak tertakluk kepada
hukum Faraid dan ia bukan harta pusaka pemilik harta tetapi ia telah menjadi
milik penerima Hibah. 
Atrtikel ini turut diterbitkan didalam Maajlah Nona keluaran Julai 2019
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan