Jumaat, 10 Mac 2023

Wanita Bijak Cakna Hak

 Assalamualaikum.

Kali terakhir saya update blog ini adalah pada 2019. Lama betul berabuk.  Hari ini rajin maka saya kemas kini dengan sedikit posting berkenaan wanita. 

"Kasih Wanita" adalah tema Hari Wanita Tahun 2023.  8 Mac  2023 as-Salihin Trustee Berhad telah menganjurkan perjumpaan bersama IEP khusus  meraikan Hari Wanita.  Saya diberi tanggungjawab untuk membincangkan topik Hak-Hak Wanita. Dalam perbincangan tersebut saya tekankan bahawa wanita bijak mestilah cakna akan hak mereka. Wanita mestilah cakna akan hak mereka di dalam tempuh perkahwinan, hak dalam poligami, hak  dalam Perceraian hak dan hak ke atas Pusaka. 

Dalam Perkahwinan seorang isteri mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah zahir dan batin daripada suami, hak untuk mendapat layanan yang baik daripada suami dari segi fizikal dan emosi, hak untuk mendaftarkan perkahwinan, serta hak harta sepencarian. 

Dalam Poligami isteri-isteri wajar mendapat nafkah zahir dan batin daripada suami  serta giliran bermalam yang adil.  hak ke atas Harta Sepencarian, hak Hadhanah (penjagaan anak-anak). Saya tekankan juga jika suami berhasrat untuk melaksanakan poligami dan berkahwin baru maka isteri sedia ada silalah hadir ke mahkamah ketika kes permohohan kebenaran berpoligami di buat oleh pihak suami. Hal ini kerana mereka boleh menuntut hak-hak di atas di mahkamah dan mahkamah akan rekodkan dan keluarkan  satu perintah berhubung tuntutan tersebut. Dengan perintah ini hak-hak isteri sedia ada akan terpelihara. 

Dan sekiranaya ditakdirkan perkahwinan tidak dapat diselamatkan  dan wanita diceraikan  maka mereka  wajar mendapat hak nafkah dalam tempoh eddah, mereka berhak menuntut hak ke atas harta sepencarian dan mut'ah . Manakala Hak Hadhanah  keutamaannya  akan diberikan kepada ibu . Jangan takut untuk  menuntut hak-hak ini. 

Manakala jika wanita-wanita yang dianiaya  atau diabaikan oleh suami dan jika mereka ini kekal  dalam perkahwinan maka  kezaliman keatas mereka akan berterusan,  undang-undang keluarga Islam di Malaysia  membenarkan mereka ini menuntut cerai melalui kaedah cerai taklik, fasakh atau khulu' (tebus talak). Wanita yang bijak mestilah mengambil langkah berani untuk menggunakan dan mempertahankan hak mereka. 

Wanita juga perlu cakna akan hak pusaka mereka jika suami meninggal dunia. Dan saya tekan juga  selagimana suami masih hidup, sihat dan perkahwinan dalam keadaan harmoni, wanita wajar membantu dan menasihatkan suami mereka untuk merancang harta untuk  pengagihan harta kepada isteri dan anak-anak. Nasihatkan suami untuk  Merancang Hibah atau Merancang Harta Sepencarian. Melalui Perancangan ini hak-hak mereka akan terpelihara.  Bab hak pusaka ini saya jelaskan lebih detail dalam program tersebut, maklumlah kerja pun dalam bidang pusaka jadi perkara ini yang paling banyak saya sebut. 

Untuk program tersebut semua berpakaian merah jambu sebagai tanda menyokong wanita-wanita hebat. Peserta lelaki juga sporting memakai merah jambu. Mereka kelihanan kacak berbaju merah jambu. 😄






Tiada ulasan:

Catat Ulasan