Jumaat, 8 Ogos 2025

Hibah Durian


Throw back - 29 July 2025


 Petang tadi, saya berseloroh dengan rakan-rakan, “Kita ni tiap-tiap hari sibuk siapkan dokumen hibah untuk pelanggan."  


Tapi hari ni… lain macam sikit. 


Kali ni, kita pula yang jadi penerima hibah!*  


Bos besar belanja satu lori durian ya.


Ya! Satu lorian durian*!  


Dengan senyum lebar, dia kata,  “Saya hibahkan durian ni untuk awak semua. Makan puas-puas, saya tak minta balasan.”


Kami ketawa.


Kami gembira makan durian di kaki lima pejabat ramai-ramai.   


Tauke durian Encik Fuad kopek satu persatu buah dan hulurkan kepada kami.


Hulur, sambut, hulur, sambut.


Hibah kali ni bukan tanah atau wang ringgit, tapi durian yang buat hati semua orang cair.   


Ini betul-betul "hibah penuh kasih sayang". 


Bos sempat selit ingatan kepada semua penerima hibah durian,  

“Khamis pagi kita meeting ya...”

Pusaka Terkalih - Bila Sangkaan Tak Seindah Kenyataan


Pusaka Terkalih - Bila Sangkaan Tak Seindah Kenyataan 

Saya masih ingat satu hari yang cukup menguji logik dan emosi saya. Hari itu, saya menghadiri satu sesi pembacaan wasiat di mana isteri si mati hadir ditemani dua orang anak mereka. Yang seorang  tinggi, berkumis, berjaket kotak dan seluar slack hitam, tuck-in kemas. Gayanya memang penuh keyakinan dan  kami semua sangka, "Ha, inilah anak lelaki si mati."  


Seorang lagi, perempuan ayu berbaju kurung hijau, rambut panjang disisir rapi. Lembut senyumannya, kami yakin itu pasti anak perempuan.


Sangkaan kami tak bertahan lama.


Apabila lelaki berkumis menyerahkan MyKad, saya baca perlahan…  

Siti Aminah binti X ( bukan nama sebenar)

Jantina: Perempuan


Saya terdiam. Menelan air liur.  


Kemudian, wanita berbaju kurung pula menyerahkan kad pengenalannya. Saya baca…  

Ahmad bin X ( bukan nama sebenar)

Jantina: Lelaki


Saya terus pandang wajahnya,  masih nampak perempuan. Tapi kad pengenalan tak menipu. Kepala saya sedikit berpusing.


Di sudut lain, si isteri tua hanya tunduk diam di atas kerusi roda. Wajahnya sugul, mata merah  mungkin sedih atas kehilangan suami, atau mungkin keliru dengan situasi anak-anaknya.  


Kami semua di pejabat sepakat, kes ini layak digelar "Pusaka Terkalih"

Lelaki yang rupa perempuan,

Perempuan yang rupa lelaki.  


Namun satu hal yang tak pernah berubah  walau siapa pun mereka zahirnya, hak faraid tetap mengikut jantina asal yang tercatat di dokumen rasmi.


Apa pengajaran dari kisah ini?


Jangan pernah bersangka. Jangan nilai hanya dari rupa. Dalam perancangan pusaka, kepastian dokumen lebih penting daripada anggapan.  

Dan dalam dunia sebenar realitinya kadang jauh lebih pelik dari drama.

 

Warisan Keluarga


5 Ogos 2025  pada  jam 10  pagi , saya dan  IEP  bertemu    Encik X  seorang jurutera dan usahawan  berjaya yang kini beralih angin menjadi usahawan tani.  

Di dalam bilik mesyuarat yang lengkap dengan projector dan papan putih serta reka bentuk moden kami mulakan perbincangan. 

 Dengan penuh semangat dan lontaran suara yang lantang, En. X  membuka bicara:

"Saya ada tanah 100 ekar, saya buat projek pertanian tanam pokok durian dan limau serta ternakan kambing dan lembu dan alhamdulillah keuntungannya boleh tahan". 

"Saya nak tanah ni kekal dan tak boleh dijual dan diuruskan oleh anak cucu saya secara bersama,” dan hasil projek pertanian saya nak buat dana pendidikan untuk keturunan saya,"  sambung En. X .

Panjang lebar jugalah beliau terangkan hasrat dan impian beliau. 

"Awak tahu tak Amna", kata beliau 


"Kat Malaysia ni tak ada pertanian skala besar  betul betul berjaya, yang  ada banyak skala petani kecil. Impian saya besar dalam bidang pertanian untuk saya bersara dengan bergaya," kata beliau. 

Saya hanya mengangguk kepala tanda faham dan hormat terhadap hasrat murni beliau. Sangat jelas cinta beliau terhadap tanah dan masa depan anak cucu. 

Saya mula menyusun kata, 

 "En. X,  impian tuan ini boleh dilaksanakan melalui instrument Amanah dimana tuan  perlu membentuk  Amanah untuk tanah- tanah tersebut.  Dengan amanah, niat tuan dapat didokumenkan secara sah, dan pengurusan tanah akan kekal tersusun mengikut kehendak tuan,"Saranan saya kepada beliau . 

Saya pun terangkan konsep amanah, peranan dan tugas  pemegang amanah, serta terma dan syarat yang wajar selari dengan hasrat beliau. 

Beliau senyum sambil mengangguk.

"Saya setuju dengan cadangan awak. Tapi saya nak tahu semua kos terlibat,” katanya tenang tapi penuh makna.

Berbunga bunga hati saya dan ini petanda baik. 

Dengan cepat saya jawab,

 "Baik tuan,  saya akan sediakan kertas cadangan lengkap. Insyaallah saya email hari jumaat  kepada Encik". 


Pertemuan 2 jam itu buat saya kagum dengan En. X. 

Saya  diberitahu,  beliau sanggup melepaskan syarikat S, yang  dibina sendiri selama lebih 31 tahun. Nilainya mencecah ratusan juta ringgit.  Beliau mahu memberi tumpuan dan modal kepada projek-projek pertanian. 

 "Syarikat ni hasil jerih perih saya,” kata beliau  sambil memandang jauh, seolah-olah mengimbas kembali perjalanan panjang penuh cabaran. Tapi kalau anak-anak urus bersama tanpa persefahaman, ia boleh jadi punca masalah besar".

Beliau menambah sambil tersenyum yakin, 

"Tapi tanah 100 ekar ni lain", "Saya percaya, dengan tanah ni... mereka boleh bersatu. Mereka boleh urus bersama. Tanah ini akan jadi pengikat kasih sayang dan amanah keluarga".

Saya terdiam seketika, kagum dengan kebijaksanaan dan keberanian beliau. Bukan mudah untuk melepaskan sesuatu yang dibina dengan keringat dan pengorbanan.

Kata-katanya menyentuh hati saya. Inilah contoh sebenar seorang pemimpin keluarga yang memikirkan warisan bukan sekadar dari segi harta, tetapi nilai, kasih sayang, dan perpaduan.

Warisan bukan sekadar apa yang kita tinggalkan, tetapi bagaimana kita meninggalkannya.