Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya
ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau
apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.
Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan
daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi
seorang muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam,
kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya”.
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)
Faraid dan Wasiat saling memerlukan di antara satu sama lain.
Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada
pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut
Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau
ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa
tujuan kebajikan. Wasiat juga merupakan instrumen perwarisan yang membolehkan
pewasiat menjana pahala dengan
memperuntukan harta untuk sedekah dan jariah/wakaf.
Dalam perlaksanaan Wasiat, Hukum Faraid memastikan bahawa pewasiat
tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al-Quran daripada
menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk
menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat. Seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu
pertiga (1/3) daripada hartanya kepada bukan waris. Sekiranya pewasiat ingin
mewasiatkan harta kepada bukan waris melebihi 1/3 bahagian, maka pemberian
tersebut perlu dipersetujui oleh semua waris.
Kesedaran tentang Faraid
dan peranan Wasiat
Secara
umumnya, ramai orang Islam salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus
difahami bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus
untuk waris-waris tertentu bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian
yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah
mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup
dan pembangunan ekonomi waris.
Banyak
kes yang berlaku di mana satu harta dikongsi oleh ramai waris dan ini tentunya
mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar
untuk dimajukan kerana pewaris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha
memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat yang dapat dilihat adalah di lokasi
Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana satu lot tanah yang hanya seluas 1.8 kaki
persegi dikongsi oleh waris seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot
tanah tersebut tetapi nilaiannya adalah tidak signifikan. Malah untuk
memajukannya juga banyak kekangan kerana memerlukan persetujuan semua pihak
terbabit.
Dalam
menangani masalah ini, Wasiat memainkan peranan yang amat penting. Orang Islam
digalakkan membuat wasiat dan melantik Wasi untuk mentadbir hartanya apabila
meninggal dunia. Di dalam Wasiat tersebut mereka boleh menetapkan pembahagian
harta pusaka tersebut mengikut Faraid dari segi saham atau bahagian serta mereka
boleh menentukan secara khusus kaedah perletakan hak harta –harta tertentu kepada waris-waris
tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberikan
sebuah rumah, manakala tanah pertanian diberikan kepada anak perempuan.
Dengan
cara demikian, masalah perkongsian satu harta bersama semua waris dapat dielakkan.
Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak, adalah lebih baik pewasiat memberi
kuasa kepada Wasi untuk membahagikan harta mengikut hukum Faraid dan pada masa
yang sama memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya untuk
membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi tanpa
menjejaskan hak faraid waris.
Kesimpulan
Wasiat
bukanlah sekadar dokumen pengagihan harta tetapi Wasiat adalah dokumen penting yang
digunakan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengagihan
harta pusaka untuk manfaat keluarga yang ditinggalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan