Jumaat, 16 Ogos 2019

Hak dan Tanggungjawab dalam Pembahagian Harta secara Faraid



Pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid adalah pembahagian  harta yang berdasarkan  dalil-dalil  yang sahih  daripada  al-Quran. Faraid boleh diwarisi atas sebab pertalian darah, perkahwinan dan agama. Waris utama yang berhak adalah ibu, bapa, suami/isteri dan anak Lelaki dan anak Perempuan. 

Apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta, hukum Faraid telah menetapkan bahagian dan peraturan tertentu  kepada setiap waris yang ditinggalkan. Ia yang dinyatakan secara khusus di dalam Al Quran Surah An- Nisa ayat  7, 8, 9, 10,  11 dan 12 .

Terdapat perbezaan pembahagian di antara waris lelaki dan perempuan dimana waris perempuan akan mendapat bahagian yang sedikit berbanding waris lelaki. Perbezaan ini secara umum kelihatan  tiada kesamarataan serta keadilan  di antara jantina dari segi pengagihan.

Hikmah Faraid

Perlu difahami bahawa terdapat hikmah di sebalik perbezaan tersebut. Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita.  Kaum lelaki bertanggung jawab untuk melindungi serta menyara waris wanita di bawah tanggungannya. Seorang  suami atau bapa  bertanggung jawab untuk menyara  dan memberi nafkah kepada isteri dan  anak-anak. Adik beradik lelaki merupakan wali yang bertanggungjawab kepada kakak,  adik perempuannya serta anak saudaranya yang yatim. Kaum lelaki menerima  hak Faraid  beserta tanggungjawab.   Bahagian Faraid yang diterima oleh kaum lelaki wajar digunakan untuk menyara kaum wanita di bawah tanggunggannya,  sebaliknya bahagian yang diterima oleh wanita  adalah hak mutlak beliau.

Hukum Faraid sangat menekankan struktur keluarga serta tanggungjawab di mana kaum lelaki berperanan besar sebagai pelindung dan  ketua keluarga.  Walau bagaimanapun,  pada masa kini, ada segelintir waris  gagal melaksanakan tanggung jawab sebagai pelindung dan  ketua keluarga . Hak Faraid yang mereka terima digunakan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan nasib waris-waris wanita atau anak-anak yatim.

Kesannya, hikmah hukum Faraid gagal difahami oleh orang Islam. Malah mereka beranggapan bahawa ia satu hukum yang rigid, tidak adil dan zalim kerana berlaku diskriminasi  dikalangan kaum wanita.

Hukum Allah berkenaan Faraid adalah kekal, namun cara hidup, cara berfikir dan perbuatan manusia yang sering berubah. Janganlah kita menyalahkan hukum Allah. Sebaliknya kita wajar bermuhasabah serta kembali kepada ajaran Islam dan  melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai seorang Muslim.


Penyelesaian

Faraid adalah satu kaedah pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta. Walau bagaimanapun, waris-waris Faraid dibenarkan secara bermuafakat dengan rela hati untuk menolak bahagian Faraid tersebut atau melaksanakan pengagihan mengikut budicara serta persetujuan semua waris.

Bagi mengimbangi Faraid dari segi pengagihan, Islam menyediakan insrumen lain iaitu Hibah sebagai  satu kaedah perancangan Harta Pusaka. Hibah adalah pemberian harta tanpa sebarang balasan kepada individu tertentu yang dilaksanakan oleh pemilik harta semasa hayat beliau. Harta Hibah tidak tertakluk kepada hukum Faraid dan ia bukan harta pusaka pemilik harta tetapi ia telah menjadi milik penerima Hibah.

Atrtikel ini turut diterbitkan didalam Maajlah Nona keluaran Julai 2019

Jumaat, 2 Ogos 2019

Wasiat menurut Islam




Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.

Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi seorang muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya”.
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Faraid dan Wasiat saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan. Wasiat juga merupakan instrumen perwarisan yang membolehkan pewasiat  menjana pahala dengan memperuntukan harta untuk sedekah dan jariah/wakaf.
Dalam perlaksanaan Wasiat, Hukum Faraid memastikan bahawa pewasiat tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al-Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat.  Seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga (1/3) daripada hartanya kepada bukan waris. Sekiranya pewasiat ingin mewasiatkan harta kepada bukan waris melebihi 1/3 bahagian, maka pemberian tersebut perlu dipersetujui oleh semua waris.

Kesedaran tentang Faraid dan peranan Wasiat

Secara umumnya, ramai orang Islam salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris.

Banyak kes yang berlaku di mana satu harta dikongsi oleh ramai waris dan ini tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan  nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana pewaris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat yang dapat dilihat adalah di lokasi Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana satu lot tanah yang hanya seluas 1.8 kaki persegi dikongsi oleh waris seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot tanah tersebut tetapi nilaiannya adalah tidak signifikan. Malah untuk memajukannya juga banyak kekangan kerana memerlukan persetujuan semua pihak terbabit.

Dalam menangani masalah ini, Wasiat memainkan peranan yang amat penting. Orang Islam digalakkan membuat wasiat dan melantik Wasi untuk mentadbir hartanya apabila meninggal dunia. Di dalam Wasiat tersebut mereka boleh menetapkan pembahagian harta pusaka tersebut mengikut Faraid dari segi saham atau bahagian serta mereka boleh menentukan secara khusus kaedah perletakan hak  harta –harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberikan sebuah rumah,  manakala tanah pertanian  diberikan kepada anak perempuan.

Dengan cara demikian, masalah perkongsian satu harta bersama semua waris dapat dielakkan. Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak, adalah lebih baik pewasiat memberi kuasa kepada Wasi untuk membahagikan harta mengikut hukum Faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya untuk membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi tanpa menjejaskan hak faraid waris.


Kesimpulan

Wasiat bukanlah sekadar dokumen pengagihan harta tetapi Wasiat adalah dokumen penting yang digunakan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengagihan harta pusaka untuk manfaat keluarga yang ditinggalkan.


Artikel ini telah diterbitkan di dalam majalah Nona keluaran Julai 2019.