Jumaat, 10 Mac 2023

Wanita Bijak Cakna Hak

 Assalamualaikum.

Kali terakhir saya update blog ini adalah pada 2019. Lama betul berabuk.  Hari ini rajin maka saya kemas kini dengan sedikit posting berkenaan wanita. 

"Kasih Wanita" adalah tema Hari Wanita Tahun 2023.  8 Mac  2023 as-Salihin Trustee Berhad telah menganjurkan perjumpaan bersama IEP khusus  meraikan Hari Wanita.  Saya diberi tanggungjawab untuk membincangkan topik Hak-Hak Wanita. Dalam perbincangan tersebut saya tekankan bahawa wanita bijak mestilah cakna akan hak mereka. Wanita mestilah cakna akan hak mereka di dalam tempuh perkahwinan, hak dalam poligami, hak  dalam Perceraian hak dan hak ke atas Pusaka. 

Dalam Perkahwinan seorang isteri mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah zahir dan batin daripada suami, hak untuk mendapat layanan yang baik daripada suami dari segi fizikal dan emosi, hak untuk mendaftarkan perkahwinan, serta hak harta sepencarian. 

Dalam Poligami isteri-isteri wajar mendapat nafkah zahir dan batin daripada suami  serta giliran bermalam yang adil.  hak ke atas Harta Sepencarian, hak Hadhanah (penjagaan anak-anak). Saya tekankan juga jika suami berhasrat untuk melaksanakan poligami dan berkahwin baru maka isteri sedia ada silalah hadir ke mahkamah ketika kes permohohan kebenaran berpoligami di buat oleh pihak suami. Hal ini kerana mereka boleh menuntut hak-hak di atas di mahkamah dan mahkamah akan rekodkan dan keluarkan  satu perintah berhubung tuntutan tersebut. Dengan perintah ini hak-hak isteri sedia ada akan terpelihara. 

Dan sekiranaya ditakdirkan perkahwinan tidak dapat diselamatkan  dan wanita diceraikan  maka mereka  wajar mendapat hak nafkah dalam tempoh eddah, mereka berhak menuntut hak ke atas harta sepencarian dan mut'ah . Manakala Hak Hadhanah  keutamaannya  akan diberikan kepada ibu . Jangan takut untuk  menuntut hak-hak ini. 

Manakala jika wanita-wanita yang dianiaya  atau diabaikan oleh suami dan jika mereka ini kekal  dalam perkahwinan maka  kezaliman keatas mereka akan berterusan,  undang-undang keluarga Islam di Malaysia  membenarkan mereka ini menuntut cerai melalui kaedah cerai taklik, fasakh atau khulu' (tebus talak). Wanita yang bijak mestilah mengambil langkah berani untuk menggunakan dan mempertahankan hak mereka. 

Wanita juga perlu cakna akan hak pusaka mereka jika suami meninggal dunia. Dan saya tekan juga  selagimana suami masih hidup, sihat dan perkahwinan dalam keadaan harmoni, wanita wajar membantu dan menasihatkan suami mereka untuk merancang harta untuk  pengagihan harta kepada isteri dan anak-anak. Nasihatkan suami untuk  Merancang Hibah atau Merancang Harta Sepencarian. Melalui Perancangan ini hak-hak mereka akan terpelihara.  Bab hak pusaka ini saya jelaskan lebih detail dalam program tersebut, maklumlah kerja pun dalam bidang pusaka jadi perkara ini yang paling banyak saya sebut. 

Untuk program tersebut semua berpakaian merah jambu sebagai tanda menyokong wanita-wanita hebat. Peserta lelaki juga sporting memakai merah jambu. Mereka kelihanan kacak berbaju merah jambu. ðŸ˜„






Jumaat, 16 Ogos 2019

Hak dan Tanggungjawab dalam Pembahagian Harta secara Faraid



Pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid adalah pembahagian  harta yang berdasarkan  dalil-dalil  yang sahih  daripada  al-Quran. Faraid boleh diwarisi atas sebab pertalian darah, perkahwinan dan agama. Waris utama yang berhak adalah ibu, bapa, suami/isteri dan anak Lelaki dan anak Perempuan. 

Apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta, hukum Faraid telah menetapkan bahagian dan peraturan tertentu  kepada setiap waris yang ditinggalkan. Ia yang dinyatakan secara khusus di dalam Al Quran Surah An- Nisa ayat  7, 8, 9, 10,  11 dan 12 .

Terdapat perbezaan pembahagian di antara waris lelaki dan perempuan dimana waris perempuan akan mendapat bahagian yang sedikit berbanding waris lelaki. Perbezaan ini secara umum kelihatan  tiada kesamarataan serta keadilan  di antara jantina dari segi pengagihan.

Hikmah Faraid

Perlu difahami bahawa terdapat hikmah di sebalik perbezaan tersebut. Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita.  Kaum lelaki bertanggung jawab untuk melindungi serta menyara waris wanita di bawah tanggungannya. Seorang  suami atau bapa  bertanggung jawab untuk menyara  dan memberi nafkah kepada isteri dan  anak-anak. Adik beradik lelaki merupakan wali yang bertanggungjawab kepada kakak,  adik perempuannya serta anak saudaranya yang yatim. Kaum lelaki menerima  hak Faraid  beserta tanggungjawab.   Bahagian Faraid yang diterima oleh kaum lelaki wajar digunakan untuk menyara kaum wanita di bawah tanggunggannya,  sebaliknya bahagian yang diterima oleh wanita  adalah hak mutlak beliau.

Hukum Faraid sangat menekankan struktur keluarga serta tanggungjawab di mana kaum lelaki berperanan besar sebagai pelindung dan  ketua keluarga.  Walau bagaimanapun,  pada masa kini, ada segelintir waris  gagal melaksanakan tanggung jawab sebagai pelindung dan  ketua keluarga . Hak Faraid yang mereka terima digunakan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan nasib waris-waris wanita atau anak-anak yatim.

Kesannya, hikmah hukum Faraid gagal difahami oleh orang Islam. Malah mereka beranggapan bahawa ia satu hukum yang rigid, tidak adil dan zalim kerana berlaku diskriminasi  dikalangan kaum wanita.

Hukum Allah berkenaan Faraid adalah kekal, namun cara hidup, cara berfikir dan perbuatan manusia yang sering berubah. Janganlah kita menyalahkan hukum Allah. Sebaliknya kita wajar bermuhasabah serta kembali kepada ajaran Islam dan  melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai seorang Muslim.


Penyelesaian

Faraid adalah satu kaedah pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta. Walau bagaimanapun, waris-waris Faraid dibenarkan secara bermuafakat dengan rela hati untuk menolak bahagian Faraid tersebut atau melaksanakan pengagihan mengikut budicara serta persetujuan semua waris.

Bagi mengimbangi Faraid dari segi pengagihan, Islam menyediakan insrumen lain iaitu Hibah sebagai  satu kaedah perancangan Harta Pusaka. Hibah adalah pemberian harta tanpa sebarang balasan kepada individu tertentu yang dilaksanakan oleh pemilik harta semasa hayat beliau. Harta Hibah tidak tertakluk kepada hukum Faraid dan ia bukan harta pusaka pemilik harta tetapi ia telah menjadi milik penerima Hibah.

Atrtikel ini turut diterbitkan didalam Maajlah Nona keluaran Julai 2019

Jumaat, 2 Ogos 2019

Wasiat menurut Islam




Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.

Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi seorang muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya”.
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Faraid dan Wasiat saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan. Wasiat juga merupakan instrumen perwarisan yang membolehkan pewasiat  menjana pahala dengan memperuntukan harta untuk sedekah dan jariah/wakaf.
Dalam perlaksanaan Wasiat, Hukum Faraid memastikan bahawa pewasiat tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al-Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat.  Seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga (1/3) daripada hartanya kepada bukan waris. Sekiranya pewasiat ingin mewasiatkan harta kepada bukan waris melebihi 1/3 bahagian, maka pemberian tersebut perlu dipersetujui oleh semua waris.

Kesedaran tentang Faraid dan peranan Wasiat

Secara umumnya, ramai orang Islam salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris.

Banyak kes yang berlaku di mana satu harta dikongsi oleh ramai waris dan ini tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan  nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana pewaris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat yang dapat dilihat adalah di lokasi Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana satu lot tanah yang hanya seluas 1.8 kaki persegi dikongsi oleh waris seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot tanah tersebut tetapi nilaiannya adalah tidak signifikan. Malah untuk memajukannya juga banyak kekangan kerana memerlukan persetujuan semua pihak terbabit.

Dalam menangani masalah ini, Wasiat memainkan peranan yang amat penting. Orang Islam digalakkan membuat wasiat dan melantik Wasi untuk mentadbir hartanya apabila meninggal dunia. Di dalam Wasiat tersebut mereka boleh menetapkan pembahagian harta pusaka tersebut mengikut Faraid dari segi saham atau bahagian serta mereka boleh menentukan secara khusus kaedah perletakan hak  harta –harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberikan sebuah rumah,  manakala tanah pertanian  diberikan kepada anak perempuan.

Dengan cara demikian, masalah perkongsian satu harta bersama semua waris dapat dielakkan. Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak, adalah lebih baik pewasiat memberi kuasa kepada Wasi untuk membahagikan harta mengikut hukum Faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya untuk membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi tanpa menjejaskan hak faraid waris.


Kesimpulan

Wasiat bukanlah sekadar dokumen pengagihan harta tetapi Wasiat adalah dokumen penting yang digunakan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengagihan harta pusaka untuk manfaat keluarga yang ditinggalkan.


Artikel ini telah diterbitkan di dalam majalah Nona keluaran Julai 2019. 

Rabu, 10 Julai 2019

Isu Harta Pusaka


Dilema isteri kematian suami.  

Puan Hana (bukan nama sebenar) telah kematian suami sekitar tahun 2014 . Mereka dikurniakan 3 orang anak perempuan dan 3 orang anak lelaki berusia diantara 8 hingga 19 tahun dan kesemuanya masih belajar.  Semasa hayat  suami, Puan Hana dan anak-anak hidup dalam keadaan selesa dan mewah  dimana semua keperluan disediakan oleh suami dan apabila suami meninggal dunia kehidupan mereka berubah 360 darjah.

Puan Hana yang masih dalam keadaan sedih terpaksa memikul tanggungjawab suami menguruskan rumah tangga dan menyediakan keperluaan anak serta menyelesaikan segala bil-bil tertunggak serta bayaran ansuran bulanan rumah dan kereta. Kekangan kewangan merupakan masalah yang paling besar kerana beliau  tiada sumber pendapatan. Pada masa yang sama segala akaun- akaun bank arwah suami telah dibekukan sebaik sahaja beliau memaklumkan kematian suami kepada pihak bank.  Keadaan bertambah rumit apabila insurans dan cukai jalan kenderaan telah mati dan tidak dapat diperbaharui kerana arwah suami telah meninggal dunia lebih 2 tahun. Keadaan ini menyebabkan beliau hilang arah, tertekan serta dilema dan keliru  bagaimana untuk menguruskan harta pusaka suaminya serta cara untuk mengeluarkan wang simpanan arwah suami di institusi kewangan.

 Telah lebih 4 tahun arwah suami meninggalkan beliau dan anak-anak tetapi urusan harta pusaka masih lagi belum selesai.  Beliau bersyukur  kerana kini telah dipertemukan dengan pihak yang mahir  serta mendapat nasihat yang betul tentang cara pengurusan harta pusaka arwah suaminya walaupun terlewat.


Hak Waris-Waris

Hukum perwarisan Islam iaitu Faraid telah ditetapkan secara jelas di dalam Al Quran surah An Nisa’ ayat 11 dan 12. Pembahagian harta melalui Faraid memberi hak kepada setiap waris yang ditinggalkan oleh si mati. Waris  yang wajib mewarisi harta pusaka si mati adalah ibu, bapa, suami isteri dan anak-anak  dan mereka ini  tidak akan dinafikan hak mereka selagimana mereka beragama Islam.  

Dalam kes Puan Hana di atas   hak faraid beliau sebagai isteri adalah 1/8 , hak faraid  Ibu arwah suami  adalah 1/6 , manakala  bakinya dibahagikan kepada 3 anak lelaki dan 3 anak perempuan dimana dua bahagian adalah hak anak lelaki  dan satu bahagian adalah hak  anak perempuan.

Pun begitu,  perletakkan dan penerimaan hak Faraid tersebut perlu dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang betul. Tanpa proses tersebut maka hak milik waris faraid tidak dapat didaftarkan dan di bahagikan secara rasmi. Harta-harta simati juga akan tetap terbeku dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh waris berkenaan dan waris akan sengsara.


Pentadbiran Harta Pusaka

Di Malaysia, apabila seseorang meninggal dunia maka semua harta yang didaftarkan di atas nama beliau terbeku. Proses pencairan aset perlu dilaksanakan.  Bagi pusaka orang Islam wajib melalui dua (2)  saluran undang-undang iaitu undang-undang Sivil dan Syariah.

Undang undang Sivil perlu dipatuhi bagi membuat  proses pencairan aset. Aset perlu dicairkan untuk menyelesaikan hutang serta melaksanakan pengagihan kepada semua waris yang berhak.  Permohonan Surat Kuasa Mentadbir perlu dilaksanakan untuk melantik seorang pentadbir harta pusaka  dimana ia perlu dimohon  ke Mahkamah Tinggi Sivil atau Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Unit Pusaka Kecil) atau Amanah Raya Berhad (mengikut nilaian dan jenis aset yang ditinggalkan). Pentabdir pusaka adalah individu yang bertanggung jawab untuk mentadbir dan menguruskan  harta dan liabiliti si mati.

Manakala undang-undang Syariah pula adalah untuk mengesahkan siapa waris yang berhak ke atas  pusaka simati serta  bahagian yang di warisi. Permohonan sijil faraid perlu di pohon di Mahkamah Syariah.

Pentadbir Harta Pusaka yang layak dilantik adalah Syarikat amanah yang berdaftar di Malaysia atau   individu  yang dipercayai, bersifat amanah serta adil , berkebolehan  dan boleh diharapkan oleh waris  faraid dan keluarga simati  untuk menguruskan harta pusaka dan melaksanakan pengagihan harta pusaka mengikut hukum Syariah dan undang-undang. Tanpa Surat Kuasa Mentabir  serta sijil faraid harta pusaka simati tidak boleh dicairkan dan diagihkan serta hutang juga tidak dapat diselesaikan. Proses yang disebuat di atas akan lebih mudah dan cepat  jika semasa hayat,  simati telah membuat dokumen perancangan harta  serta melantik pentabir harta pusaka.

Kesimpulan

Mati adalah Pasti.  Setiap yang hidup akan merasai  kematian. Tetapi bila, dimana dan bagaimana kematiaan itu berlaku tiada kepastian keadaannya. 

Oleh itu, Ayuh,  Jangan Bertangguh. Buatlah Perancangan Harta semasa Hayat untuk kemudahan waris kesayangan yang ditinggalkan supaya pengalaman Puan Hana tidak berlaku kepada keluarga anda.   Lantiklah Wasi iaitu pentadbir harta pusaka  yang akan mentadbir harta pusaka dan liabiliti anda. Rancanglah bagaimana kaedah pengagihan yang anda inginkan untuk kesenangan waris kesayangan. Anda juga boleh menjana pahala melalui  Wasiat  dengan pemberian  sedekah dan jariah/waqaf   tertakluk kepada 1/3 daripada harta pusaka.


Nota: Artikel di atas telah di terbitkan dalam  Majalah Nona keluaran Bulan Jun 2019 . 


Selasa, 26 Jun 2018

Tips Mengurus Polisi Takaful


Teks: Amna Fazillah Ismail

A. Kenapa perlu perlindungan Takaful?
1.     Untuk memastikan anda masih dilindungi dan   mempunyai sumber kewangan sekiranya disahkan koma  atau berlaku kecacatan kekal atau menghidap penyakit kritikal;
2.    Untuk memastikan anak-anak  atau isteri/suami dilindungi serta mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan sekiranya anda  seminggal dunia maka

B. Kepada siapa wang tersebut anda ingin bahagikan dan bagaimanakah caranya?

Terdapat 3 pilihan :
  1. wang takaful digunakan untuk pengurusan Harta Pusaka dan bakinya dibahagikan mengikut hukum Faraid  kepada waris faraid. Anda perlu menamakan seorang individu sebagai wasi dalam borang penamaan
  2. wang takaful diberikan secara keseluruhan/ lump sum kepada benefisiari khusus/ tertentu sebagai penerima Hibah yang mutlak.  Anda perlu menamakan individu tersebut sebagai penerima Hibah di dalam borang penamaan
  3.  wang takaful diberikan kepada benefisiari khusus/  tertentu mengikut cara pengagihan, arahan dan syarat yang ditetapkan anda dan akan diuruskan oleh pemegang amanah. Anda perlu membuat amanah takaful (surat ikatan amanah)  serta membuat penyerahan hakmilik polisi takaful (absolute Assignment) kepada pemegang amanah.

C.  Risiko  jika menamakan  individu sebagai Wasi atau Penerima Hibah
1.  Risiko Menamakan isteri atau suami sebagai penama.


  • Mampukah isteri/suami  menguruskan wang tersebut dengan baik.
  • Mendedahkan beliau kepada risiko di manipulasi atau ditipu
  • Mampukah beliau menangkis cubaan atau godaan orang sekeliling yang mendampingi beliau dengan niat jahat setelah tahu beliau telah menerima wang takaful yang banyak.
Jika dinamakan sebagai wasi maka cukupkah ilmu atau pengetahuan beliau berkaitan pengurusan dan pentadbiran pusaka
·         Apa akan berlaku jika beliau meninggal serentak bersama anda?
Wang takaful tersebut hanya boleh dikeluarkan setelah mahkamah keluarkan Surat kuasa Mentadbir (meninggal tanpa wasiat)  atau Geran Probet (meninggal berwasiat)  yang memakan masa diantara 3 hinga 6 bulan .

2.       Risiko menamakan anak-anak di bawah umur 18 tahun  sebagai Wasi atau Penerima Hibah dalam borang penamaan.
·         Sekiranya masa anda meninggal dunia anak belum berusia 18 tahun maka wang takaful akan dibayar kepada ibubapa  yang bertindak sebagai penjaga beliau .
Persoalannya adakah anda pasti bahawa bahagian anak tersebut akan terjamin jika diuruskan oleh penjaga tersebut. Risiko manipulasi.

Sekiranya ibubapa  meninggal dunia serentak bersama atau terlebih dahulu maka yang berikut akan berlaku:;

a)      Jika wang tersebut tidak melebihi RM50 ribu akan diberikan  kepada mana-mana penjaga sah  anak tersebut
b)      Jika wang tersebut melebihi RM50 ribu akan diberikan kepada Pemegang Amanah Awam  (Amanah Raya Berhad) untuk  diuruskan sehingga anak berusia 18 tahun.
Anak akan mengalami karenah birokrasi untuk membuat tuntutan saraan diri.
Maka tujuan asal Perlindungan Takaful iaitu membantu diri serta keluarga ketika kesukaran akan tersasar.
D.  Kenapa  Amanah Takaful sangat penting
1. Pengagihan wang takaful tidak tertakluk kepada hukum faraid. Boleh diberikan kepada mana-mana benefisiari yang dipilih. Boleh menamakan benefisiari gantian jika benefisiari utama meninggal dunia.
2. Pembayaran wang takaful melalui amanah takaful dibuat kepada Pemegang Amanah. Ada Unsur kawalan terhadap pengagihan dan pengeluaran wang.  Pemegang Amanah akan membahagikan kepada benefisiari serta menguruskannya mengikut terma dan syarat yang ditetapkan di dalam surat ikatan amanah yang disediakan oleh syarikat pemegang amanah.
 Didalam surat ikatan amanah anda berhak menentukan dan mengawal cara wang tersebut dibelanjakan serta dibahagikan kepada benefisiari. Pemegang Amanah adalah badan pelaksana kawalan tersebut.
Walaupun benefisiari di bawah umur tetapi masih lagi haknya terjamin dan akan segera mendapat manfaat segera daripada wang takaful tersebut mengikut terma dan syarat dalam surat ikatan amanah.
3.  Sebaliknya Pembayaran wang takaful melalui Hibah adalah secara bayaran keseluruhan/Lump sump. Setelah Benefisiari menerima wang tersebut maka beliau bebas untuk menggunakan serta membelanjakan wang tersebut mengikut kehendak beliau tanpa kawalan.
Cuba anda fikirkan, sekiranya benefisiari baru berusia 18 tahun menerima wang tersebut, mampukah beliau menguruskan wang tersebut dengan baik?  Beliau  boleh menghabiskan wang tersebut dengan membeli barangan mahal atau untuk sebarang tujuan bersukaria.



E. Apakah isikandungan Amanah Takaful
1. Arahan untuk mengawal tujuaan  penggunaan wang takaful. Boleh menetapkan tujuan penggunaan sebagai contoh untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan saraan diri . Cara bayaran yuran pendidikan, jumlah saraan diri sepanjang tempoh pendidikan. Contoh Pemegang Amanah membayar yuran pendidikan terus kepada kolej, jumlah elaun saran diri adalah RM3,000 setiap bulan dan lain-lain.
2. Arahan untuk membayar hutang( jika ada)
3. Arahan untuk mengembangkan harta amanah melalui pelaburan yang selamat
4. Tujuan sedekah jariah
5. Lain-lain


Surat Kuasa Wakil dan Deklarasi Hibah


HUBUNG KAIT SURAT KUASA WAKIL DAN DEKLARASI HIBAH

Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney)
Surat Kuasa wakil adalah satu dokumen perlantikan wakil kuasa oleh pemberi kuasa kepada penerima kuasa untuk urusan tertentu. Dimana  Pemilik harta melantik seorang wakil yang akan bertindak bagi pihak beliau untuk menguruskan harta-harta beliau berserta kuasa-kuasa tertentu yang diberikan kepada wakil tersebut. Contoh kuasa yang boleh diberikan adalah kuasa untuk memindah milik harta pemilik harta, menandatangani perjanjian jual beli, menandatangani perjanjian sewa beli, kuasa untuk memohon pengeluaran wang di institusi kewangan atau penutupan akaun serta  membuat pelaburan dan lain-lain kuasa yang berkaitan harta-harta tertentu,

Surat kuasa wakil ini boleh diguna pakai untuk harta alih dan harta tidak alih samada harta tersebut bercagar atau tidak bercagar.

Anggapan bahawa Surat Kuasa Wakil ini adalah satu insrument pemberian atau hibah  adalah SALAH. Sebaliknya ia adalah   satu instrument yang diguna pakai untuk membuat sebarang urusan berkenaan  harta pemberian /hibah tersebut setakat kuasa yang diberi. Penerima kuasa wakil tersebut bukanlah benefisiari bagi harta tersebut tetapi beliau hanya mempunyai kuasa untuk bertindak membuat urusan berkenaan harta tersebut setakat kuasa yang diberi.

Pengesahan Surat Kuasa Wakil

Surat Kuasa Wakil ini telah sah, wujud  serta  berkuat kuasa setelah ia disahkan/disaksikan  oleh salah seorang daripada pihak berkenaan yang dinyatakan di dalam Seksyen  3 Akta Surat Kuasa Wakil 1949.  Ia juga perlu di daftarkan di Mahkamah Tinggi Sivil  dan disimpan satu Salinan  di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil.  

Section 3 Powers of Attorney Act 1949  – Authentication of powers of Attorney :
(1) No instrument purporting to create a power of attorney executed after the commencement of this Act shall have any validity to create such power within West Malaysia unless: (a) if executed within West Malaysia, the instrument is executed before, and is authenticated in the appropriate form set out in the First Schedule hereto by-
(i)                  A Magistrate
(ii)                A Justice of the Peace
(iii)               A Land Administrator
(iv)               A Notary Public
(v)                A commissioner for Oaths; or
(vi)               An advocate and solicitor; or
(vii)             An officer, acting in the course of his employment of  a company carrying on the business of banking in West Malaysia and incorporated by or under any written law in force in West Malaysia

Section 4 - Powers of Attorney Act 1949 – Deposit of Power of Attorney :
(1)  Except as hereinafter provided no instrument purporting to create a power of attorney shall, after the commencement of this Act, have any validity to create such power within West Malaysia until :
(a) a true copy of the said instrument duly compared therewith and marked by the Senior Assistant Registrar within the words” true copy”;
 has been deposited in the office of a Senior Assistant Registrar.

Surat Kuasa Wakil Menurut Islam

Surat Kuasa Wakil adalah bersamaan konsep Wakalah di dalam Islam iaitu mewakilkan seseorang /organisasi untuk menguruskan sebarang  tugas atau urusan bagi pihaknya. Akad Wakalah ini memberi kuasa kepada wakil atau agen menjalankan sesuatu kerja bagi pihak yang diwakilinya.

Konsep Wakalah  diguna pakai dalam bidang perbankan Islam serta Takaful dimana memberi kuasa kepada institusi berkenaan untuk melakukan transaksi tertentu.  Manakala  di dalam bidang guaman syarie  Wakalah digunakan  untuk memberi kuasa  kepada Peguam Syarie untuk mewakili anak guam dalam Mahkamah Syariah.  Setiap bidang berkenaan mungkin menggunakan nama yang berbeza tetapi tujuan dan maksud yang sama.  

Pendapat dan tanggapan bahawa  Surat Kuasa Wakil tu sebagai tidak menepati hukum Islam  dan undang-undang Islam adalah tidak benar kerana jelas bahawa Surat Kuasa Wakil itu menepati dan bersamaan dengan konsep Wakalah di dalam Islam iaitu perlantikan wakil untuk melakukan urusan harta tertentu.


Di dalam al Quran juga ada menyebut berkenaan wakalah.
Surah al Kahfi Ayat 20;
…..Sekarang utuslah salah seorang daripada kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual disitu), kemudian ia membawa sedikit habuan untuk kamu

Surah Yusof Ayat 55;
“ Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirnya.

Deklarasi Hibah

Deklarasi Hibah adalah dokumen  pemberian harta  daripada pemilik harta kepada penerima harta dan ia  berkuat kuasa semasa hayat penghibah . Harta hibah   telah menjadi hak milik penerima hibah. Apabila penghibah meninggal dunia maka harta hibah tersebut bukan lagi harta atau pusaka penghibah. Urusan pindah milik atau pentadbiran  harta hibah tersebut juga tidak perlu melalui proses pentadbiran pusaka.

Deklarasi Hibah yang ditawarkan oleh as- Salihin Trustee Berhad akan disertakan  bersama Surat Kuasa Wakil.  Ini bertujuan agar sebarang transaksi harta hibah seperti pindahmilik,  pengeluaran wang di institusi kewangan atau penutupan akaun boleh  diuruskan mengunakan Surat Kuasa Wakil tanpa melalui proses mahkamah untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet atau permohonan sijil Faraid.  Urusan pindah milik dan pengagihan harta hibah akan dilaksanakan dengan lebih cepat, mudah dan lancar .

Deklarasi Hibah tersebut   adalah menepati rukun dan syarat Hibah yang ditentukan oleh hukum Islam serta telah diluluskan oleh Lembaga Penasihat Syariah as-Salihin Trustee Berhad yang berwibawa dan pakar dalam bidang undang-undang Islam dan Undang-undang Sivil.  Manakala Surat Kuasa Wakil menepati  konsep  Wakalah Muqayyad iaitu Wakalah yang terikat dengan syarat, masa dan keadaan tertentu. Surat Kuasa Wakil ini juga disempurnakan mengikut mengikut syarat-syarat penyaksian Islam dimana ia disaksikan oleh dua (2) orang saksi lelaki  Muslim dewasa dan salah seorang daripada mereka mestilah Pesuruhjaya Sumpah  atau Peguambela dan Peguamcara.

Surah Al-Baqarah ayat 282 menyebut berkenaan Penyaksian dalam Mualamat “ …. dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu”. 

Dakwaan bahawa Deklarasi Hibah yang ditawarkan oleh as-Salihin Trustee Berhad tidak menepati hukum  Islam kerana menggunakan Surat Kuasa Wakil yang  disahkan oleh  Mahkamah Tinggi Sivil dan  tidak mendapatkan perintah pengesahan hibah daripada  Mahkamah Syariah  adalah TIDAK BENAR.

Ditekankan bahawa  Perintah Pengesahan Hibah hanya perlu dipohon daripada mana-mana  Mahkamah Syariah sekiranya pertikaian ditimbulkan oleh mana-mana pihak terhadap Deklarasi Hibah tersebut.  Pihak yang mempertikaikan tersebutlah  yang wajar membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk membuktikan dakwaan beliau.

Untuk makluman,  walaupun pengesahan hibah telah diperolehi daripada Mahkamah Syariah, pindah milik harta hibah kepada benefisiari selepas kematian penghibah hanya boleh dilaksanakan sekiranya ada salah satu daripada instrumen berikut iaitu Surat Kuasa Wakil atau Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet dan Perintah Pembahagian (jika berkenaan) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau Unit Pusaka Kecil.

as-Salihin Trustee Berhad diwujudkan adalah untuk membantu orang Islam merancang harta pusaka agar ia dapat diuruskan dengan mudah, lancar dan tanpa perlu melalui proses yang panjang. Semua produk yang dibangunkan serta ditawarkan oleh as-Salihin adalah telus mengikut hukum syarak serta peruntukkan undang-undang di Malaysia supaya ia boleh  dikuatkuasa tanpa sebarang masalah dan tanpa perlu melalui proses yang rumit dan panjang demi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Akhir kata, Islam itu mudah selagimana sesuatu perkara itu tidak bertentangan dengan hukum Syarak dan membawa mudarat maka ia harus dilakukan dan tidaklah menjadi satu kesalahan.




Disediakan oleh

Amna Fazillah Ismail
Timbalan Presiden
as-Salihin Trustee Berhad

Jumaat, 22 Jun 2018

PEMBATALAN WASIAT


PEMBATALAN WASIAT

Pewasiat boleh membatalkan/menarik balik  Wasiat beliau  pada bila-bila masa semasa hayat beliau.
Walau bagaimanapun, apabila pewasiat telah meninggal dunia, tiada pembatalan boleh dilakukan kerana Wasiat tersebut telah berkuatkuasa.  Begitu juga waris-waris juga TIADA KUASA untuk membatalkan Wasiat dan/atau membatalkn  perlantikan wasi di dalam Wasiat tersebut.
Hanya PERINTAH MAHKAMAH  sahaja  boleh membatalkan Wasiat atau perlantikan wasi sekiranya Wasiat dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Juga, menjadi satu kesalahan  jika waris-waris menafikan bahawa pewasiat mempunyai Wasiat  sedangkan mereka mengetahui tentang kewujudan Wasiat tersebut.

Berikut adalah peruntukan  Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999  (pindaan 2016 ):
Bahagian III- Pembatalan wasiat

SS 12 (a). Sesuatu wasiat hendaklah menjadi batal jika Pewasiat menarik balik wasiatnya

Bahagian IV– Perlaksanaan Wasiat

SS 15 (2) Sesuatu wasiat hendaklah dianggap sebagai ditarik balik :
(a)   Jika pewasiat melakukan sesuatu perbuatan atau mewujudkan suatu keadaan yang menunjukkan dengan qarinah atau urf bahawa dia telah menarik balik wasiatnya.

SS 16- Seseorang hendaklah tidak dianggap sebagai menarik balik wasiatnya atas sebab:
(a)   Penafian wasiat tersebut oleh orang lain 

Wasiat yang lengkap adalah sah semasa hayat  pewasiat dan akan berkuatkuasa apabila beliau meninggal dunia. Ini bermakna Wasi yang dilantik wajar melaksanakan wasiat tersebut  serta membuat permohonan geran probet di Mahkamah Tinggi Sivil bagi mengesahkan perlantikan wasi tersebut di sisi undang-undang.  
Walau bagaimana pun,  wasi yang telah dilantik  berhak dan boleh menggunakan budibicara untuk menolak perlantikan tersebut (Renunciation) atas alasan-alasan yang munasabah.
SS 8. Probate and Administration Act 1959 :
“Any person who is or may become entitled to representation may expressly renounce his right to the representation “
Dari segi perlaksanaan,  as-Salihin boleh menggunakan budibicara untuk  membuat penolakan perlantikannya sebagai wasi  atas alasan munasabah seperti harta pusaka yang ditinggalkan oleh pewasiat tidak memadai atau mencukupi untuk membayar kos guaman bagi permohonan geran probet, sijil faraid serta kos-kos pentadbiran seperti yuran pentadbiran pusaka, yuran pindah milik, setem duti dan sebagainya. Dimana   waris perlu menanggung kos-kos berkenaan dan waris tersebut  tidak berkemampuan. Penolakan perlantikan ini  wajar dibuat untuk kebaikan serta tidak membebankan waris.
Setelah as-Salihin menolak perlantikan,  wasiat yang asal akan diserahkan kepada pentadbir pusaka yang telah dipilih dan dipersetujui oleh semua waris pewasiat.
as-Salihin turut mengenakan bayaran minimum yang munasabah bagi menampung kos  perjalanan  serta masa yang telah digunakan oleh pegawai kami  untuk majlis pembacaan wasiat,  penerangan serta khidmat nasihat kepada  waris untuk  menguruskan pusaka pewasiat dengan cara yang betul.
Ditekankan bahawa, bayaran yang dikenakan semasa hayat pewasiat adalah bayaran untuk penyediaan dokumen wasiat dan bayaran tersebut tidak meliputi bayaran pelaksanaan wasiat dan pentadbiran harta pusaka pewasiat selepas kematian beliau.
Semasa hayat pewasiat, selain daripada bayaran penyediaan wasiat, as-Salihin tidak mengenakan sebarang bayaran lain samada bayaran bulanan atau tahunan untuk memastikan wasiat boleh dilaksanakan selepas kematian pewasiat serta membiayai kos pentadbiran pusaka. Bayaran pentadbiran pusaka hanya akan dikenakan apabila as-Salihin memulakan pentadbiran pusaka selepas kematian pewasiat  dan kos tersebut  akan ditanggung/dibiayai  oleh harta pusaka pewasiat.

Amna Fazillah Ismail
Timbalan Presiden
as-Salihin Trustee Berhad